BERMULA 1 Julai 2025, semua bas ekspres dan bas persiaran yang dibina bermula 2020 diwajibkan dipasang dan menggunakan tali keledar bagi meningkatkan tahap keselamatan penumpang.
Penguatkuasaan itu diumumkan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli, sebagai sebahagian usaha serius Kerajaan dalam menangani kemalangan maut membabitkan kenderaan awam jarak jauh.
Bas Dibina Mula 2020 Wajib Guna, Bas Lama Diberi Tempoh Penyesuaian
Aedy Fadly berkata, pelaksanaan itu melibatkan semua bas yang dibina bermula 1 Januari 2020 yang memang diwartakan pemasangan tali keledar.
Sementara itu, bagi bas dibina sebelum 2020, JPJ kini sedang mengadakan sesi libat urus dengan syarikat pengendali untuk menetapkan tempoh khas pemasangan tali keledar, selaras kemampuan teknikal dan logistik masing-masing.
SOP Wajib: Tali Keladar Dipakai Sebelum Bas Bergerak
JPJ juga mengarahkan setiap syarikat pengendali menyediakan prosedur operasi standard (SOP) yang mewajibkan pemandu dan penumpang memakai tali keledar sebelum perjalanan bermula.
Langkah itu bukan sekadar penguatkuasaan teknikal, tetapi juga usaha membentuk disiplin keselamatan jalan raya dalam kalangan pengendali dan pengguna.
Garis Panduan Akan Dikeluarkan
JPJ bakal mengedarkan garis panduan rasmi kepada semua pengendali bas ekspres dan bas pelancongan bagi memastikan pelaksanaan teratur dan adil.
Kegagalan mematuhi arahan tersebut akan menyebabkan pemandu, penumpang, dan pengendali syarikat dikenakan kompaun RM300 setiap seorang.
Kenapa Pemakaian Tali Keledar dalam Bas Penting?
Aedy Fadly menjelaskan;
Pemakaian tali keledar ini adalah salah satu usaha penting meningkatkan keselamatan jalan raya, terutama melibatkan bas ekspres yang kerap digunakan untuk perjalanan jauh dan berkelajuan tinggi.”
Statistik menunjukkan banyak kecederaan serius dan kematian dalam kemalangan bas boleh dielakkan jika penumpang memakai tali keledar.
JPJ menegaskan pelaksanaan itu bukan bertujuan menghukum, tetapi mendidik dan menyelamatkan nyawa. Pematuhan terhadap peraturan berkenaan dapat memastikan penumpang bas mempunyai peluang lebih tinggi untuk selamat dalam sebarang insiden jalan raya.
SUMBER: SinarHarian
Leave a Reply