MAZDA Motor Corporation mengumumkan pelaksanaan pelan besar, dipanggil Dasar Reformasi Struktur Perniagaan Domestik, dengan matlamat memperkukuh asas perniagaan dan menyemarak semula jualan di pasaran Jepun.
Langkah itu dibuat susulan perubahan pesat dalam industri automotif global dan keperluan menyesuaikan diri secara pantas dengan kepelbagaian kehendak pelanggan.
Selepas kejayaan di pasaran Amerika Syarikat (AS), Mazda kini mahu memacu pembaharuan di Jepun berteraskan falsafah pengurusan Pengurusan Nilai Jenama (Brand Value Management).
Tiga Teras Utama Reformasi
- Pelaburan untuk pertumbuhan dan pengukuhan jenama
- Strategi keutamaan kawasan metropolitan
- Sokongan penuh di barisan depan untuk pengalaman pelanggan terbaik
Sasaran utama adalah mencapai jualan domestik 200,000 unit secepat mungkin, berbanding 152,000 unit yang dicapai bagi tahun fiskal berakhir 31 Mac 2025.
Empat Langkah Strategik Mazda di Jepun
1. Reformasi Rangkaian Jualan
Mazda memilih 10 bandar utama, termasuk Tokyo dan Osaka sebagai kawasan sasaran. Mazda akan menumpukan pelaburan untuk membangunkan Gedung Generasi Baharu (New Generation Store), iaitu bilik pameran baharu yang menawarkan pengalaman jenama eksklusif.
Sebanyak 300 bilik pameran turut ditetapkan sebagai kedai keutamaan, dengan sasaran jualan tahunan 400 unit setiap cawangan, hasil peningkatan kualiti pengalaman pelanggan.
2. Pelaburan Pemasaran Fokus kepada Jenama Mazda
Komunikasi konsisten mengenai identiti dan matlamat jenama Mazda, iaitu enriching life-in-motion, akan diperluas bagi menarik minat pengguna baharu.
Salah satu inisiatif utama ialah Mazda Trans Aoyama, iaitu fasiliti khas yang dibuka Februari 2025 untuk memperkenalkan pengalaman jenama kepada orang ramai.
3. Perkukuh Nilai Jenama di Cawangan
Mazda memperkenal Brand Standards, iaitu garis panduan untuk memastikan semua cawangan memberi pengalaman konsisten yang selaras identiti jenama.
Selain itu, sistem latihan dan sokongan akan disediakan kepada pengedar bagi memastikan pelaksanaan piawaian ini secara menyeluruh.
4. Penubuhan Syarikat Baharu: Mazda Business Partner Co Ltd.
Bagi meningkatkan kecekapan operasi, Mazda menubuhkan Mazda Business Partner Co Ltd, yang berpusat di Itabashi-ku, Tokyo.
Syarikat itu akan mengambil alih urusan pentadbiran belakang tabir daripada pengedar yang membolehkan mereka menumpukan kepada perkhidmatan pelanggan dan pengalaman jenama.
Maklumat Syarikat Baharu
- Nama: Mazda Business Partner Co Ltd
- Lokasi: Itabashi-ku, Tokyo
- Presiden: Kazuyoshi Todou, juga Pegawai Eksekutif Mazda
- Modal: 10 juta yen (RM291,990)
- Pemilik: 100 peratus Mazda Motor Corporation
- Tarikh Ditubuhkan: 30 Januari 2025
- Fungsi: Menyatukan operasi tidak langsung syarikat jualan domestik dalam kumpulan Mazda sebagai syarikat perkhidmatan bersama dengan objektif meningkatkan kecekapan, kualiti, dan tadbir urus
Leave a Reply