SYARIKAT motosikal tempatan GGR Motor, mengambil ilham filem popular 'Gila-Gila Remaja', menampilkan inisiatif 'Go Green Revolution' menerusi pelancaran motosikal elektrik (EV) terbaharu jenama itu.
Usaha itu dijalankan bersama pengedar eksklusif PMH Motor Sdn Bhd (Perniagaan Mazlan & Hashimah), yang juga rakan strategik utama GGR MOTOR.
Majlis pelancaran rasmi dijadual berlangsung pada 28 Jun 2025 di Saloma, Kuala Lumpur dengan kehadiran Ketua Pengarah MARA, Datuk Zulfikri Osman, yang menyokong pembangunan teknologi hijau dilaksanakan graduan latihan dan pendidikan vokasional dan teknikal (TVET) seperti IKM Beseri dan UniKL MFI.
Motosikal EV, Artis Popular dan Arah Baharu Mobiliti Hijau
Pelancaran motosikal EV itu bukan sekadar acara pameran, tetapi permulaan ke arah budaya mobiliti hijau yang lebih meluas.
Acara sehari penuh itu merangkumi sesi pelancaran rasmi, pameran produk, aktiviti rangkaian bersama pelabur, media dan peminat EV bermula jam 9.30 pagi hingga 4.30 petang.
Sebelah malam pula, pengunjung bakal disajikan dengan aktiviti komuniti, sesi tunggang ujia, persembahan artis, cabutan bertuah dan banyak lagi.
Pengarah Urusan GGR Motor, Muhammad Mussadiq Mohamed Azmi berkata, pendekatan melibatkan selebriti popular adalah strategi tepat untuk menarik perhatian pengguna muda terhadap EV.
Apabila artis sendiri pakai EV, mesej kita lebih mudah sampai. Ini bukan sekadar promosi, tapi peralihan gaya hidup," katanya.
Selebriti Turut Sertai Revolusi Hijau
Antara selebriti bakal hadir ialah Bella Astillah, Johan Raja Lawak, Nabil Ahmad, Ajak Shiro, Farid Kamil dan Cat Farish.
Muhammad Mussadiq berkata, kehadiran selenriti itu bukan hanya sebagai ‘penyeri majlis’, tetapi juga rakan kerjasama dalam projek selepas pelancaran, termasuk perancangan membuka kedai jenama bersama.
Menariknya, Johan yang sinonim dengan jenama makanan Itik ke Ayam?, turut terlibat dalam kolaborasi berkenaan.
Mereka bukan sekadar artis, tapi sahabat yang saya percaya boleh membantu memacu jenama ke tahap lebih tinggi," katanya lagi.
Hadiah Motosikal EV untuk Penonton Konsert AMK Indie 2025
Sebagai sokongan kepada gerakan hijau dan komuniti muzik, GGR Motor turut menaja dua unit basikal elektrik (e-bike), Lion G1 bernilai RM2,054 kepada penonton bertuah di Konsert Aku Muzik Kamu (AMK Indie 2025) yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 26 dan 27 Julai ini.
"Kami nak beri manfaat kepada rakan industri dan masyarakat, bukan sekadar jual motor," kata Mussadiq.
Sasaran Pelancaran Bersama TPM Malaysia
Bagi acara kemuncak, GGR Motor berbesar hati menjemput Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk merasmikan motosikal EV jenama itu.
"Kami harap ini jadi simbol permulaan budaya baharu yang mana mobiliti hijau jadi gaya hidup rakyat Malaysia," kata Mussadiq.
Dengan kombinasi teknologi hijau, sokongan selebriti dan semangat anak tempatan, GGR Motor membuktikan revolusi mobiliti bukan hanya milik jenama antarabangsa, tetapi juga boleh bermula di sini dengan gaya dan jiwa Malaysia.
Leave a Reply