SEMPENA ulang tahun ke-50 model lagenda BMW 3 Series, BMW Malaysia memperkenalkan dua model baharu untuk pasaran tempatan, iaitu BMW 330i M Sport 2025 dan BMW 320i Sport 2025, selepas pelancaran model terdahulu BMW 330Li M Sport.
Kedua-dua model itu tampil dengan rekabentuk lebih segar, teknologi termaju dan karakter pemanduan tersendiri, iaitu untuk mereka yang berjiwa sporty, dan satu lagi untuk eksekutif moden.
BMW 330i M Sport 2025 - Gaya Agresif, Kuasa Padu
BMW 330i M Sport 2025 tampil dengan penampilan lebih berani dan agresif, menerusi elemen rekabentuk M Sport seperti bampar agresif, spoiler belakang M dan rim aloi ringan 19 inci gaya dwi-jejari (double-spoke) 996M Bicolour.
Gril ginjal (kidney grille) diberikan kemasan hitam kilat untuk aura lebih sporty dan digabungkan dengan lampu LED penuh bersama bantuan lampu tinggi (HBA) dan lampu ambien cahaya unik depan pintu.
Bahagian dalaman menyerlahkan suasana kabin kontemporari BMW, dengan paparan lengkung BMW Curved Display, terdiri daripada kluster instrumen digital 12.3 inci dan unit infotainment skrin sentuh 14.9 inci yang disepadukan kemas.
Sistem infotainmen menggunakan sistem operasi (OS) BMW Operating System 8.5 dengan QuickSelect untuk akses pantas kepada navigasi, hiburan dan tetapan kenderaan.
BMW 320i Sport 2025 - Elegan dan Profesional
BMW 320i Sport 2025 membawakan pendekatan lebih diperhalusi dan mewah, sesuai untuk eksekutif muda yang sukakan gaya minimalis dengan karakter eksklusif.
Rekabentuk luaran menampilkan garisan kemas dan kemasan Pearl Chrome pada gril dan trim aluminium satin, serta rim aloi ringan 18 inci V-Spoke gaya 780 Bicolour.
Ruang kabin menggunakan trim Dark Graphite kusam dengan stereng sport. Walaupun mungkin tidak seagresif varian M Sport, tetapi masih menawarkan semua ciri utama BMW seperti sistem lampu ambien, kerusi sport depan, kawalan penyaman udara automatik dan sistem cermin antisilau.
Enjin TwinPower Turbo - Dua Gaya, Dua Tahap Kuasa
Kedua-dua model dilengkapi enjin 4-silinder BMW TwinPower Turbo 2.0L dengan talaan kuasa berbeza:
BMW 330i M Sport 2025
- Output kuasa 258hp dan tork 400Nm
- Pecutan 0-100kmj sepantas 5.8 saat
- Kelajuan maksimum 250kmj
BMW 320i Sport 2025
- Output kuasa 184hp, dan tork 300Nm
Pecutan 0-100kmj sepantas 7.4 saat - Kelajuan maksimum 235kmj
Kedua-dua model juga dipadankan transmisi automatik Steptronic 8-kelajuan dalam pacuan roda belakang (RWD), yang memberikan pengalaman pemanduan seimbang dan menyeronokkan seperti DNA asal 3 Series.
Sistem Bantuan Pemanduan - Penuh Teknologi, Lebih Selamat
Semua model baharu itu hadir standard dengan kawalan jelajah aktif (ACC) dengan fungsi henti mula Stop & Go, serta pakej bantuan pemanduan DrivingAssistant terdiri daripada:
- Amaran Tukar Lorong (LCW)
- Maklumat Had Kelajuan (Speed Limit Info)
- Amaran Trafik Lintas Belakang (RCTA) dengan intervensi brek
- Amaran Keluar (Exit Warning)
Sistem bantuan parkir Parking Assistant Plus juga dipakejkan sebagai standard yang lengkap dengan kamera 360, bantuan parkir (Park Assist), bantuan undur (Reversing Assistant), paparan keliling (Surround View), kawalan jauh paparan 3D (Remote 3D View) dan perakam BMW Drive Recorder untuk rakaman insiden secara automatik.
Warna, Pilihan Dalaman
Bagi pasaran Malaysia, BMW menawarkan warna menarik seperti:
- Kedua-dua model: Alpine White, Black Sapphire, Arctic Race Blue
- Eksklusif 330i M Sport: M Brooklyn Grey
- Eksklusif 320i Sport: Skyscraper Grey
Ruang kabin pula didatangkan dengan upholsteri lelubang Sensatec Perforated hitam sebagai standard.
Siapa Patut Pilih Mana?
BMW 330i M Sport 2025 sesuai untuk anda yang mahukan pengalaman pemanduan maksimum dengan kuasa tinggi, gaya agresif dan pakej penuh elemen M.
BMW 320i Sport 2025 pula ideal untuk profesional muda atau peminat BMW baharu yang mahukan sedan elegan, lengkap ciri penting dan lebih menjimatkan dari segi harga dan operasi.
Harga Rasmi (anggaran)
BMW Malaysia belum mengumumkan harga rasmi, tetapi model itu dijangka diletakkan dalam julat RM250,000 - RM300,000, bergantung spesifikasi dan pakej pilihan.
Kesimpulan
BMW 3 Series 2025 membuktikan kenapa ia terus menjadi ikon dalam segmen sedan premium. Dengan rekabentuk moden, teknologi canggih dan dua karakter berbeza dalam satu famili BMW 330i M Sport 2025 untuk peminat sedan sporty dan BMW 320i Sport 2025 untuk profesional bergaya.
Jadi tidak hairan kalau model ini terus menjadi pilihan utama pembeli baharu atau pemilik BMW sedia ada di Malaysia.
Kalau anda mencari sedan premium yang seimbang antara prestasi, gaya dan teknologi, inilah masa mengalami sendiri BMW 3 Series generasi baharu.
Leave a Reply