• UTAMA
  • EDITORIAL
  • PENGIKLANAN
  • HUBUNGI KAMI

PanduLaju.com.my

Tekan Pedal dan Jangan Stres

  • Auto Terkini
  • Roda4
  • Roda2
  • Pandu Uji
  • Bikin Auto
  • Autotainment
  • Sembang Deras
  • Aksesori
  • PR NEWSWIRE
You are here: Home / Autotainment / #TahukahAnda: Kenapa Kenderaan Tinggi Lebih Mudah Terbalik? Tragedi Bas UPSI Perlu Buka Mata Kita Semua

#TahukahAnda: Kenapa Kenderaan Tinggi Lebih Mudah Terbalik? Tragedi Bas UPSI Perlu Buka Mata Kita Semua

June 10, 2025 By Han Othman Leave a Comment

FacebookTwitter

Kemalangan bas ekspres bawa pelajar UPSI di jalan Gerik-Jeli
TRAGEDI menyayat hati melibatkan kemalangan bas ekspres membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terbabas dan terbalik di Jalan Gerik-Jeli berhampiran Tasik Banding, Perak awal pagi semalam sekali lagi mengingatkan kita tentang risiko tersembunyi kenderaan tinggi seperti bas, lori, kenderaan utiliti sukan (SUV) dan trak pikap.

Insiden itu bukan kes terpencil, tetapi senario yang boleh dijangka secara fizikal dan teknikal jika kita memahami bagaimana kenderaan tinggi berfungsi atas jalan raya.

Dalam artikel ini, kami akan kupas secara terperinci kenapa kenderaan tinggi lebih cenderung untuk terbalik atau terbabas, dan langkah pencegahan yang boleh diambil.

1. Pusat Graviti Tinggi - Musuh dalam Diam

Pusat graviti (CoG) bas

Setiap kenderaan mempunyai pusat graviti (center of gravity, CoG), dan untuk kenderaan tinggi seperti bas, SUV, dan trak pikap, pusat graviti itu berada lebih tinggi daripada kereta biasa.

Jadi, bila kenderaan tinggi membuat beberapa aksi seperti:

  • Mengambil selekoh dengan laju.
  • Gerakan mengelak mengejut seperti mengelak binatang atau kenderaan depan.
  • Brek mengejut ketika menuruni bukit.

Semua aksi tersebut mencetuskan daya sentrifugal (centrifugal force) lebih kuat yang menyebabkan badan kenderaan mudah ditolak ke luar dari garis selekoh. Ini menghasilkan risiko belokan kurang (understeer), belokan lebih (oversteer) dan akhirnya terbalik, terutama jika tayar tidak mencengkam baik atau suspensi gagal menampung berat secara dinamik.

2. Berat dan Inersia - Gabungan yang Sukar Dikawal

Bas, lori dan SUV direka berat untukl kestabilan dan kapasiti muatan. Tetapi dalam situasi kecemasan, berat yang sama itu boleh menjadi beban.

Bayangkan:

  • Kenderaan berat meluncur 100kmj dalam hujan
  • Pemandu terpaksa membrek mengejut atau mengelak

Ketika itu, inersia (inertia)  atau momentum kenderaan akan terus menolak ke depan. Jika brek tidak cukup kuat, tayar tidak cukup cengkaman atau jalan basah, risiko akuasatah (aquaplaning), terbabas atau berpusing (spin) adalah sangat tinggi.

3. Tayar dan Suspensi - Bukan Direka untuk Selekoh Agresif

Kemalangan trak pikap di Malaysia
SUV terbabas

Ramai pembeli SUV dan trak pikap silap faham, Rekaan 'gagah' kenderaan mereka bukan bermaksud boleh dipandu seperti kereta sport. Sebenarnya, banyak SUV dan trak pikap menggunakan sistem suspensi lebih lembut untuk keselesaan atau laluan off-road.

Akibatnya, apabila pemandu memasuki selekoh tajam dalam kelajuan tinggi, atau menukar lorong secara mengejut, kenderaan mereka akan miring (dinamakan body roll) terlalu banyak, sekali gus menyebabkan hilang kawalan atau terbalik, apatah lagi jika membawa muatan berat di atas.

4. Risiko Angin Lintang - Bahaya yang Selalu Diabaikan

Kesan angin lintang (crosswind) ke atas kenderaan.

Satu lagi risiko yang sering tidak disedari ialah angin lintang (crosswind). Kenderaan tinggi mempunyai permukaan sisi luas, yang menjadikan ia ibarat layar kapal ketika ditiup angin dari tepi.

Jadi, di kawasan seperti jambatan tinggi (contohnya: Jambatan Pulau Pinang), atau laluan terbuka seperti lebuh raya di kawasan ladang sawit atau bukit, angin kuat boleh menolak kenderaan keluar dari laluan, terutama bila kenderaan sedang laju atau membawa muatan tidak stabil.

Realiti di Jalan Raya

Berdasarkan fakta di atas, anda tentu perasan banyak kemalangan melibatkan kenderaan tinggi seperti:

  • Trak pikap terbalik selepas cuba mengelak binatang di jalan raya ketika malam.
  • SUV terbabas dan berpusing ketika melalui selekoh bukit dalam hujan.
  • Lori kontena terbalik selepas gagal ambil selekoh jejambat (flyover) dalam kelajuan tinggi.
  • Bas dua tingkat tergolek akibat kehilangan kawalan ketika menurun cerun.

Semua kes di atas mempunyai satu persamaan, iaitu kenderaan tinggi yang tidak dapat dikawal dengan selamat apabila berlaku kecemasan.

Langkah Kurangkan Risiko - Bukan Sekadar Pandu Cermat

Sebagai pemandu atau penumpang, kita semua ada peranan. Berikut langkah pencegahan yang boleh menyelamatkan nyawa:

1. Hadkan kelajuan, lebih-lebih lagi di selekoh dan waktu hujan

  • Jangan anggap Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dan Kawalan Stabiliti Elektronik (ESC) boleh menjadi penyelamat dalam setiap situasi.
  • Ini kerana kenderaan tinggi memerlukan lebih ruang untuk berhenti dan lebih masa untuk menukar arah.

2. Elak tukar lorong mengejut atau membrek mengejut

  • Gaya pemanduan agresif sangat berbahaya untuk SUV, trak pikap dan bas.
  • Jadi anda perlu melatih diri untuk memandu secara progresif dan prediktif.

3. Periksa tekanan tayar, kondisi suspensi dan brek secara berkala

  • Tekanan tayar tidak seimbang boleh menyebabkan kesan body roll berlebihan.
  • Suspensi rosak atau haus boleh mengurangkan kestabilan dan cengkaman ketika selekoh.

4. Jangan terlalu yakin dengan saiz dan imej gagah kenderaan anda

  • SUV mungkin nampak mantap, tetapi tetap terdedah kepada had fizik.
  • Trak pikap bukan kereta lumba dan tidak direka untuk melakukan aksi mengambil selekoh ekstrem.

Kesimpulan: Tragedi Bukan Sekadar Nasib

Kemalangan bas ekspres pelajar UPSI di Jalan Gerik-Jeli
Kemalangan bas ekspres pelajar UPSI di Jalan Gerik-Jeli
Kemalangan bas ekspres pelajar UPSI di Jalan Gerik-Jeli
Kemalangan bas ekspres pelajar UPSI di Jalan Gerik-Jeli
kemalangan-bas-upsi-jalan-gerik-jeli-4

Insiden tragik melibatkan pelajar UPSI semalam bukan kemalangan pertama seumpamanya, dan jika tidak diambil iktibar, bukan yang terakhir.

Kenderaan tinggi seperti bas, lori, SUV dan trak pikap membawa lebih banyak risiko fizikal yang boleh dikawal jika kita faham dan akur dengan hadnya.

Sebagai pengguna jalan raya, kita perlu lebih berilmu, berhati-hati dan berdisiplin. Benarlah kata pepatah, biar lambat, asal selamat.

Related

FacebookTwitter

Filed Under: Autotainment, Trak dan Lori Tagged With: Auto Terkini, autotainment, Kemalangan Bas Pelajar UPSI, kemalangan maut, Kenapa Bas Mudah Terbalik, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Leave a Reply Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CARIAN AUTO

Pilihan Ramai

  • #SembangDeras: Sistem Bayaran Tol Digital Masih Kucar-Kacir, Sampai Bila Nak Tunggu Seragam?
    #SembangDeras: Sistem Bayaran Tol Digital Masih Kucar-Kacir, Sampai Bila Nak Tunggu Seragam?
  • Beli Denza D9 Dapat Pakej Eksklusif Bernilai RM5k, Tawaran Sah Sepanjang September Ini!
    Beli Denza D9 Dapat Pakej Eksklusif Bernilai RM5k, Tawaran Sah Sepanjang September Ini!
  • #ApaNakBuat: Inilah Cara Aktifkan Fungsi Bluetooth Perodua Myvi (2011-2017)
    #ApaNakBuat: Inilah Cara Aktifkan Fungsi Bluetooth Perodua Myvi (2011-2017)
  • #TahukahAnda: Tentang Nombor Plat Malaysia yang Mungkin Anda Tidak Tahu
    #TahukahAnda: Tentang Nombor Plat Malaysia yang Mungkin Anda Tidak Tahu

PANDU UJI

Pandu uji Mazda CX-60 dari Mazda Glenmarie ke TUI BLUE The Haven, Ipoh

#PanduUji: Lenjan Mazda CX-60 dari Glenmarie ke Ipoh, SUV Cita Rasa Premium Jepun Tulen

BERMAZ Motor baru saja melancarkan kenderaan utiliti sukan (SUV) saiz … [Baca Lagi...]

GAC Emkoo 2025

Media Malaysia Pandu Uji GAC Emkoo 2025 Menjelang Debut, Harga Mula Dijangka RM120k?

PENGEDAR sah jenama GAC Motor di Malaysia, WTC Automotif hari ini … [Baca Lagi...]

Pandu uji off-road JAECOO J8 di Sepang Bay 13

#PanduUji: JAECOO J8 Lepasi Enam Cabaran Off-Road di Trek Sepang Bay 13 Adventure Park

Dua minggu selepas OMODA | JAECOO Malaysia melancarkan model kenderaan … [Baca Lagi...]

2014 – 2025 © PanduLaju.com.my
🚀 XCII WebDev