PENGELUAR China sekarang ini sedang menumpukan perhatian kepada segmen 4x4 gayaan klasik dan ada yang sudah pun dibawa masuk ke pasaran tempatan.
Tidak mahu ketinggalan, Geely turut serta dan memperkenalkan Galaxy Cruiser. SUV lasak ini bukti komitmen Geely dalam menggabungkan estetik Timur dengan teknologi canggih dan menetapkan piawaian baru dalam industri automotif.
Dilengkapi teknologi canggih dan pacuan semua roda untuk cabaran ekstrem, satu lagi trend dari pengeluar China turut disertakan iaitu crab walk. Ya, Galaxy Cruiser juga boleh melakukannya. Malah, Cruiser juga boleh terapung!
SUV ini dibangunkan di bawah subjenama Geely Galaxy yang memfokus kepada kenderaan tenaga baharu (NEV) dan penggunaan teknologi canggih, termasuk kecerdasan buatan (AI), elektrifikasi dan komunikasi satelit.
Reka bentuk Galaxy Cruiser merupakan satu penyatuan mahir di antara elemen tradisional China dan inovasi futuristik.
Lampu hadapan direka menyerupai bentuk sfera armilari, iaitu alat astronomi purba yang digunakan untuk memetakan pergerakan bintang.
Lampu belakang menampilkan corak dinamik seperti orbit satelit moden yang diinspirasikan daripada sistem angkasa lepas negara China.
Panel kawalan off-road pula mengambil inspirasi daripada stereng kapal layar, memberikan sentuhan elegan berunsur nautika.
Geely tidak memperincikan rangkaian kuasa kecuali penggunaan teknologi Full-domain AI.
Sistem berpandukan AI ini mampu bertukar secara pintar antara mod elektrik sepenuhnya, hibrid dan jarak lanjutan untuk pelbagai jenis permukaan dan gaya pemanduan.
Fungsi pacuan semua roda pintar boleh berubah secara automatik antara pacuan hadapan, belakang atau AWD mengikut keperluan.
Berdasarkan gambaran ini selamat untuk dikatakan Cruiser dikuasakan nadi hibrid plug-in (PHEV).
Geely turut mengetengahkan lima prinsip keselamatan utama untuk Galaxy Cruiser:
- Tiada kehilangan kawalan
- Tiada kebakaran spontan
- Tiada kehilangan rangkaian
- Tiada perlanggaran
- Tiada risiko tenggelam
Lagi teknologi canggih:
- Casis Digital AI – Menyokong fungsi seperti crab walk, pusingan statik, pemanduan walaupun tayar pancit, serta aksi drift autonomi. Galaxy Cruiser juga mencatat rekod ujian elak moose pada kelajuan 80 km/j.
- Bateri Golden Short Blade – Menggunakan salutan kalis peluru dan bahan perlindungan yang tahan ubah bentuk, kebakaran dan letupan.
- Rangkaian Satelit – Komunikasi global disokong oleh satelit Geely, termasuk di kawasan terpencil. Tambahan satelit baharu dijangka dilancarkan tahun ini.
- Keupayaan Meredah Air – Dilengkapi radar dan sonar khas, membolehkan kenderaan memandu dalam air dengan kelajuan lebih 8.5 km/j, meredah kedalaman hingga 800mm dan terapung selama dua jam jika perlu.
- Teknologi Elak Halangan G-AES – Menggunakan penderiaan jauh satelit dan dron untuk mengenal pasti dan mengelak halangan secara automatik semasa pemanduan off-road.
Berbekalkan rekabentuk dan ciri-ciri Cruiser seperti sudah siap, adakah Galaxy Cruiser bakal menemui pasaran?
Leave a Reply