KETIKA sesi pandu uji bersama rakan media di Hangzhou, China, selepas selesai kunjungan ke pameran Auto Shanghai 2025, Geely mendedahkan satu model baharu dikenali sebagai Geely Cityray.
Model kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen-B ini pantas menarik perhatian kami kerana rekabentuk moden dan berpotensi besar menjadi pengganti kepada Proton X50.
Rekabentuk
Geely Cityray bersaing secara langsung dengan model seperti Honda HR-V dan Toyota Yaris Cross. Model ini sebenarnya tidak ditawarkan di pasaran China, tetapi versi eksport untuk Geely Boyue Cool, yang diperkenalkan di China pada awal 2023.
Seperti nama asalnya, Geely Cityray membawa DNA Boyue yang dekat kepada Proton X70, dan bukan Binyue yang menjadi asas kepada Proton X50. Namun, Cityray dibangunkan berasaskan platform BMA (bukan CMA) untuk model Geely segmen-B, atau nama di China dipanggil Geely Boyue Cool.
Rekabentuk luaran Geely Cityray tampil lebih agresif dan matang berbanding X50 dengan gril ‘Ribbon Wing’ rekaan baharu, lampu LED tirus, dan garis badan yang kemas serta tegap.
Trenkuasa
Geely Cityray menawarkan trenkuasa petrol 4-silinder sebaris 1.5L turbo suntikan terus (TD) berkuasa 172hp @ 5,500rpm, dan tork 290Nm @ 2,00-3,500rpm dengan transmisi dual-klac (DCT) 7-kelajuan. Ada juga varian hibrid plug-in (PHEV) dengan motor elektrik dan transmisi DHT (Hi-F PHEV) 3-kelajuan.
Ciri keselamatan standard dilengkapi enam beg udara, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Agihan Brek Elektronik (EBD) dengan Brek Automatik (BA), Sistem Kawalan Traksi (TCS), Program Stabiliti Elektronik (ESP), Kawalan Bantuan Daki Bukit (HAC), Kawalan Turun Bukit (HDC) dan Sistem Pemantau Tekanan Tayar (TPMS).
Ciri Keselamatan
SUV subkompak ini juga dilengkapi sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) seperti Kawalan Jelajah Adaptif (ACC), Brek Kecemasan Autonomi (AEB), Amaran Keluar Lorong (LDW), Amaran Kekal Lorong (LKA), Amaran Kekal Lorong Kecemasan (ELKA), Bantuan Lebuh Raya (HWA), Kawalan Lamu Tinggi Pintar (IHBC), Amaran Tukar Lorong (LCW), Amaran Buka Pintu (DOW), Pengesan Titik Buta (BSD), Sokongan Mitigasi Perlanggaran Belakang (CMSR), dan Amaran Trafik Lintas Belakang (RCTA).
Ciri dalaman memuatkan infotainmen 10.2 inci dengan skrin sentuh vertikal, kluster instrumen digital, dan sistem kamera 540° definisi tinggi (HD) dengan paparan imej bawah kenderaan.
Di pasaran, harga jualan adalah antara RM55,000 dan RM72,000 mengikut varian. Jika dibawa masuk di bawah jenama Proton, model ini berpotensi mengisi ruang dalam penawaran SUV subkompak tempatan, terutama segmen elektrifikasi.
Rekabentuk dan spesifikasi Geely Cityray dilihat seiring keperluan pasaran Malaysia. Buat masa ini, tiada pengesahan rasmi daripada pihak Proton, tetapi kemunculannya menandakan hala tuju baharu dalam barisan produk Geely.
Leave a Reply