JETOUR G700 menjadi antara topik perbincangan menarik dalam kalangan peminat kenderaan utiliti sukan (SUV) selepas model itu membuat kemunculan di China semenjak awal tahun ini.
Pun begitu, JETOUR membuat debut global secara rasminya sempena acara Auto Shanghai 2025 iaitu sehari selepas mempertontonkan model sama pada satu acara makan malam khas di sebuah hotel di Shanghai, China.
Di Auto Shanghai 2025, JETOUR menyatakan perasmian global model G700 yang berkongsi pentas sama dengan G900 di hadapan barisan media dan tetamu global. Bukan hanya itu sahaja dikongsi, malah kedua-duanya dibangunkan menggunakan platform GAIA.
Platform itu membolehkan SUV berkenaan menggunakan pelbagai jenis trenkuasa. Antaranya, versi hibrid PHEV membabitkan enjin 2.0 liter dengan pengecas turbo dengan tambahan dua unit motor elektrik, dihubungkan kepada trenkuasa hibrid dwi-kelajuan DHT. Output kuasa dikatakan 760hp dan tork 795Nm.
Sistem PHEV itu dibina di atas arkitektur 800v tetapi belum ada maklumat mengenai kapasitinya. Masa pengecasan dari kadar 20 peratus hingga 80 peratus menelan masa sekitar 10 minit.
Selain itu, ada laporan menyatakan SUV itu juga ada trenkuasa lain iaitu Range Extender (Lanjutan Jarak) yang menggunakan seunit enjin 2.0 liter 4-silinder sebagai generator untuk mengecas bateri dan aliran kuasa bateri akan disalurkan ke empat unit motor elektrik yang menggerakkan roda.
Khabarnya, setiap unit motor elektrik itu sekuat 408hp. Turut dilaporkan ialah JETOUR G700 berupaya mencapai jarak pemanduan sehingga 1,400km. Jika pemanduan sepenuhnya berasaskan kuasa elektrik, ia boleh dipandu sekitar 140km.
SUV sepanjang 5.1 meter itu juga boleh ditingkatkan jarak lega bumi dari 150mm kepada maksimum 350mm selain menunda beban sehingga 3.5 tan. Bukan itu sahaja, G700 juga boleh meredah kedalaman air sehingga 900mm.
Dikhabarkan masuk pasaran China pada suku ketiga tahun ini dan diikuti di Timur Tengah sekitar suku keempat 2025. Setakat ini, aspek teknikal rasmi masih belum didedahkan.
Leave a Reply