PENGELUAR kereta nampaknya mempunyai satu lagi misi apabila Porsche 911 GT3 mencatatkan rekod kereta pengeluaran paling pantas dengan transmisi manual di Nürburgring Nordschleife.
Jörg Bergmeister, duta jenama Porsche, mengatasi rekod lama sejak 2017 yang dipegang oleh sebuah kereta berkuasa tinggi dari Amerika Syarikat dengan kelebihan masa lebih 9.5 saat.
Menerusi pembangunan lanjut yang ekstensif, 911 GT3 manual dengan pakej Weissach menunjukkan peningkatan kelajuan sebanyak 3.633 saat berbanding model terdahulu (992.1) yang menggunakan transmisi PDK.
Rekod ini menjawab persoalan tentang ketangkasan 911 GT3 manual, yang berjaya mengurangkan masa 3.6 saat walaupun varian PDK lebih pantas.
"Semakin ramai pelanggan 911 GT3 yang memilih transmisi manual enam kelajuan, dan semakin kerap kami ditanya mengenai prestasi model ini di Nordschleife," kata Andreas Preuninger, Pengarah Barisan Model GT.
"Kami telah menjawab soalan ini, dan walaupun kami tahu bahawa varian dengan PDK lebih pantas, kami mencatatkan masa pusingan rasmi dengan kotak gear manual."
"Walaupun tanpa penukaran gear automatik yang sangat pantas dan tepat, serta dengan pembezaan slip terhad yang dikawal secara konvensional, 911 GT3 berjaya mengurangkan masa sekitar 3.6 saat."
Pada waktu petang dalam cuaca cerah dengan suhu sekitar 12°C dan suhu trek 27°C, Jörg Bergmeister memulakan pusingan di trek sepanjang 20.832 km menggunakan 911 GT3 berkuasa 510 hp dengan pakej Weissach.
Seperti pusingan terdahulu, kereta dipasang tayar Michelin Pilot Sport Cup2 R yang sah untuk kegunaan jalan raya (255/35 R20 di hadapan dan 315/30 R21 di belakang).
Andreas Preuninger berkongsi lebih lanjut mengenai sasaran mereka.
Ketika pasukan memutuskan untuk menetapkan masa pusingan rasmi bagi 911 GT3 manual, mereka melihat siapa yang berada di carta teratas kedudukan.
Rekod sebelumnya mencatatkan masa 7:01.300 minit di litar pendek 20.600 km yang merupakan konfigurasi rasmi litar sebelum 2019.
Jika disesuaikan dengan litar 20.832 km yang digunakan sekarang, masa tersebut setara dengan sekitar 7:05.800 minit.
Masa ini menjadi sasaran utama. Dengan pengawasan notari, masa rasmi 911 GT3 baharu dicatatkan pada 6:56.294 minit, mengatasi rekod terdahulu dengan lebih 9.5 saat.
Bergmeister menjelaskan bahawa 911 GT3 baharu memberikan lebih keyakinan, terutamanya di had pengendalian.
Beliau mendapati dirinya lebih pantas di hampir setiap selekoh. Pengetahuan dari model GT3 RS, terutamanya dalam aspek casis, memberikan impak besar.
Kereta ini lebih stabil apabila melintasi bonggol dan bebendul, meningkatkan kawalan pemandu.
Selain itu, nisbah gear yang 8% lebih pendek memberi daya pecutan lebih baik daripada gandar belakang.
Walaupun varian PDK tujuh kelajuan lebih pantas, Bergmeister merasakan kotak gear manual memberinya lebih penglibatan dalam pemanduan — menjadikan pusingan itu lebih menyeronokkan dan memuaskan.
Keputusan ini sekaligus menjadi jawapan rasmi yang meyakinkan tentang potensi sebenar 911 GT3 manual selain memberi makluman kepada dunia bahawa kotak gear manual masih berbisa!
Leave a Reply