WARGA Pantai Timur dijangka dapat menikmati perjalanan pulang beraya lebih selesa dan bebas kesesakan apabila Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mula beroperasi pada Januari 2027.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak memaklumkan pembinaan jajaran dari Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak akan siap menjelang Disember 2026.
Menurutnya, operasi percubaan ECRL akan dimulakan seawal Jun 2026, dengan ketibaan beberapa gerabak penumpang dijangka hujung tahun ini.
Setakat Mac lalu, kemajuan keseluruhan projek sudah mencapai 81 peratus, dengan Terengganu mendahului pada tahap 90 peratus, disusuli Kelantan (89 peratus) dan Pahang (86 peratus).
Dua stesen utama di Kelantan, iaitu Kota Bharu dan Pasir Puteh dijangka siap suku pertama 2026. Stesen Pasir Puteh, yang dibina di atas tapak seluas 17 hektar menampilkan konsep rekabentuk bercirikan kebudayaan tempatan yang unik dan beridentiti, termasuk inspirasi daripada ‘Tanjak Agong’ sebagai simbol perpaduan dan kedaulatan negara.
Rekabentuk stesen turut menerapkan elemen seni dan budaya tradisional Kelantan, selaras usaha memartabatkan warisan negeri dalam projek infrastruktur nasional.
Elemen seperti motif tempatan dan hiasan tradisional akan diketengahkan bagi memperkenalkan budaya Kelantan kepada pengunjung.
Selain itu, Stesen Pasir Puteh akan dilengkapi pelbagai kemudahan seperti tempat letak kereta, laluan pejalan kaki berbumbung, lokasi turun-naik penumpang dan pusat kitar semula yang menjadikan stesen itu mesra pengguna dan menyokong kelestarian alam sekitar.
SUMBER: SinarHarian
Leave a Reply