PENGELUAR kereta banyak bergantung kepada syarikat ketiga sama ada untuk pembangunan dan pembekalan teknologi.
Cara begini mempunyai faedah tersendiri dan paling mudah dilihat pada kotak gear yang sama dikongsi oleh model kereta berlainan syarikat.
Beberapa teknologi Bantuan Pemanduan Termaju (ADAS) juga dibangunkan pihak ketiga sebelum disesuaikan mengikut kehendak pengeluar kereta.
Satu daripada syarikat berperanan sebagai pembekal adalah HORSE yang mengkhusus dalam sistem powertrain hibrid, plug-in hibrid (PHEV) dan pembakaran dalaman.
Sebagai sebahagian daripada Horse Powertrain, HORSE beroperasi di tujuh negara dengan lapan kilang pengeluaran dan tiga pusat R&D, termasuk di Brazil, Sepanyol, Portugal, Romania dan Turki.
Syarikat dimiliki Renault Group (45%), Geely (45%) dan Aramco (10%), serta membangunkan teknologi enjin yang menyokong mobiliti rendah pelepasan karbon.
Keberadaan Geely sebagai salah satu pemegang saham menimbulkan persoalan sama ada teknologi rangkaian kuasa HORSE akan digunakan dalam kenderaan Proton pada masa hadapan.
Selain kereta penumpang, HORSE mempunyai kerjasama dengan pengeluar bas terbesar di Amerika Selatan, Marcopolo dan pembuat perkakasan elektronik multinasional dari Brazil, WEG bagi membangunkan bas mikro hibrid Volare Attack 9.
Selepas pengangkutan darat, kini buat pertama kalinya, HORSE meluaskan kepakarannya ke sektor maritim.
Kerjasama Strategik dengan Hybdor Tech
HORSE menandatangani perjanjian dengan Hybdor Tech, sebuah syarikat pemula dari Brazil untuk membekalkan enjin bagi Hybdor Duotech 200E dan menariknya sistem rangkaian kuasa marin hibrid plug-in (PHEV).
Dibangunkan untuk kapal layar dan kapal Kelas 2 (26-40 kaki panjang), Hybdor Duotech 200E menggunakan enjin HR13 keluaran HORSE, iaitu enjin 1.3L, 4-silinder Turbo Flex Fuel yang direka untuk beroperasi menggunakan petrol dan etanol.
Ini menjadikannya di antara sistem rangkaian kuasa marin komersial pertama yang direka untuk beroperasi dengan bahan api flex-fuel (gabungan petrol dan etanol) dan boleh menggunakan etanol tulen sebagai bahan api.
Teknologi Hibrid Terkini
Seperti PHEV dalam kenderaan darat, Hybdor Duotech 200E menawarkan tiga mod operasi:
- Mod pembakaran penuh – Beroperasi dengan bahan api seperti enjin konvensional
- Mod elektrik penuh – Pergerakan senyap tanpa pelepasan karbon
- Mod boost – Gabungan enjin pembakaran dan motor elektrik untuk kuasa tambahan
Bateri sistem ini boleh dicas penuh dalam masa 90 minit melalui sumber kuasa luaran dan juga boleh dicas semasa enjin sedang beroperasi.
Prestasi dan Kecekapan
Dihasilkan di kilang HORSE di Curitiba, Brazil, enjin HR13 menawarkan:
- 163PS (120kW) kuasa maksimum
- 250Nm tork pada 1,600rpm
Manakala motor elektriknya menambah:
- 25PS (18kW) kuasa puncak
- 60Nm tork maksimum
Gabungan ini meningkatkan jarak perjalanan kapal, mengurangkan penggunaan bahan api dan pelepasan karbon, serta mengurangkan bunyi dan getaran untuk pengalaman navigasi yang lebih selesa.
Komitmen ke Arah Mobiliti Mapan
Penyertaan HORSE dalam sektor maritim seiring dengan usaha global dalam peralihan tenaga kepada teknologi yang lebih bersih.
Dengan keupayaan untuk menggunakan etanol sepenuhnya, Hybdor Duotech 200E menetapkan penanda aras baharu dalam industri marin, menjadikannya satu langkah penting ke arah penyelesaian mobiliti rendah pelepasan karbon.
Kerjasama antara HORSE dan Hybdor membuka lembaran baharu dalam teknologi marin hibrid, dengan gabungan bahan api fleksibel, kecekapan tenaga yang lebih tinggi dan pelepasan karbon yang lebih rendah.
Ini bukan sahaja meningkatkan prestasi kapal tetapi juga mengukuhkan peranan HORSE dalam inovasi rangkaian kuasa untuk masa depan yang lebih lestari.
Leave a Reply