VOLKSWAGEN baru saja mendedahkan imej-imej menggugat jiwa Polo (2018) generasi ke-6 yang dibina berasaskan platform serba baharu, MQB-A. Apakah perkara menarik tentang Polo (2018) hingga ramai orang sibuk memperkatakan tentang subkompak hatchback ini?
Di bawah ini kami senaraikan 6 perkara yang perlu anda tahu tentang Volkswagen Polo (2018):
1. ENJIN GTI DIPERTINGKAT
Sejak beberapa tahun lalu, Polo GTI memang diberikan enjin berkapasiti lebih kecil berbanding model abang, Golf GTI. Generasi terdahulu bermula dengan enjin 1.4L turbo pengecas berkembar 4-sebaris, dan disusuli turbo konvensional 1.8L. Namun, bagi generasi ke-6, enjin GTI dibekalkan enjin 2.0L TSI berkuasa 197hp.
Selepas sedekad berlalu, kini, Polo GTI memiliki enjin yang sama dengan Golf GTI! Lebih menarik, tidak seperti Golf GTI, anda diberikan ciri brek tangan manual untuk Polo GTI. Kata orang, lebih oldskool, lebih syok!
2. HAMPIR SEBESAR GOLF MKIV
Dimesi Polo baharu ialah 81mm panjang, dan 69mm lebar berbanding model sedia ada. Tahukah anda Polo baharu ini sedikit lebar berbanding Golf MKIV dan hampir sama panjang dengan abangnya itu. Ini bermakna, ruang kabin Polo kini lebih luas, manakala kapasiti but diluaskan daripada 280 liter kepada 351 liter. Drastik bukan?
Walaupun, saiz dibesarkan, Volkswagen masih serius mahu mengekalkan status Polo sebagai kereta kompak yang lincah. Hmm...
3. ADA ENJIN BAHARU - 1.5L TSI
GTI bukanlah satu-satunya varian yang ditingkatkan kapasiti enjin. Mengikut jejal Golf MK7.5, Polo memutuskan menggantikan enjin 1.4L untuk memberi laluan kepada 1.5L TSI. Berasaskan pandu uji pada Golf, karakter enjin tersebut nyata lebih lancar, halus dan senyap. Semestinya pilihan terbaik untuk Polo dengan hamburan kuasa 148hp yang lebih daripada mencukupi.
Enjin bagi model permulaan atau entry level bermula 1.0L aspirasi natural (NA) 3-sebaris berkuasa 64hp dan 74hp. Versi pengecas turbo mampu melonjakkan kuasa kepada 94hp dan 113hp. Malah, Volkswagen turut menawarkan enjin 1.0L TGI yang dikuasakan gas asli dengan kuasa 89hp, manakala varian diesel menggunakan enjin 1.6L TDI dengan opsyen kuasa 79hp atau 93hp.
4. PAPARAN PEMUKA DIGITAL
Paparan Info Aktif (AID) Volkswagen kini diberikan kepada Polo, sekali gus mengetepikan imej instrumen konservatif seperti terdapat pada model lama yang pastinya menjadi daya penarik baru buat pembeli.
Namun, tidak dapat dipastikan varian mana yang akan dipasang ciri paparan baharu tersebut. Boleh jadi ditawarkan sebagai opsyen kepada semua varian, manakala model premium dijadikan ciri standard.
Turut sama bersama AID ialah lapisan kaca menyaluti atas skrin sentuh bersaiz 6.5 inci atau 8-inci tang tampak lebih premium dan elegan.
5. KESELAMATAN LENGKAP
AID hanyalah sebahagian daripada banyak teknologi hebat Polo (2018). Paling utama, semua varian Polo (2018) diberikan sistem Bantuan Depan (Front Assist) dengan Pembrekan Kecemasan Automatik (AEB) dan Pemantau Pejalan Kaki yang berfungsi membrek automatik untuk mengelak kemalangan sekitar bandar jika anda gagal menunjukkan reaksi sepatutnya.
Terdapat juga sistem Bantuan Parkir dengan fungsi sulit yang akan menghentikan kereta daripada merempuh sebarang objek sekiranya anda terbabas. Anda juga diberikan Pengesan Titik Buta dan Amaeran Trafik Belakang sebagai opsyen.
6. EROPAH TIDAK SABAR
Ramai pembeli tidak sabar dengan kemunculan Polo (2018). Apatah lagi harga ditawarkan sangat kompetitif dengan ciri ditawarkan apabila dijual €12,975 (RM62,119) di Jerman. Apakah Polo (2018) bakal menjadi sensasi baru di Eropah?
SUMBER: Car Throttle
Leave a Reply