DUA beradik membuat pengakuan bersalah mencuri dan menyimpan sebuah van jenazah selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Klang, Selangor hari ini.
Menurut laporan, Majistret Amirul Asyraf Abd Rashid menjatuhkan hukuman penjara enam bulan ke atas tertuduh, iaitu Abdul Hamid Rizan, 27, dan adiknya, Faizal Rizan, 23.
Kedua-duanya diperintahkan menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan, iaitu 25 Januari 2025 (Sabtu).
Sinar Harian melaporkan, mengikut kertas pertuduhan, dua lelaki itu didakwa bersama menyimpan harta curi iaitu sebuah van jenazah jenis Toyota Hiace bernilai RM30,000 yang dilaporkan hilang, milik sebuah masjid di Kampung Telok Gong di Klang.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di surau sebuah pangsapuri di Iskandar Puteri, Johor sekitar jam 1.05 pagi pada 25 Januari lalu.
Pertuduhan dibuat bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Akta sama yang memperuntuk hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
HILANG DI KLANG, JUMPA DI JOHOR
Menurut Buletin TV3, berdasarkan fakta kes, pengadu ialah seorang lelaki berusia 32 tahun yang membuat laporan polis berikutan kecurian van jenazah di masjid terbabit antara jam 2.30 petang, 17 Januari lalu hingga jam 7.45 petang, 21 Januari lalu.
Pada Ahad lalu sekitar jam 1.05 pagi, seorang saksi menahan kedua-dua tertuduh di depan sebuah surau di Johor bersama van dengan nombor pendaftaran palsu.
Semakan mendapati nombor pendaftaran asal kenderaan yang dinaiki kedua-dua tertuduh adalah milik van jenazah yang dilaporkan hilang di masjid dekat Kampung Telok Gong, Pelabuhan Klang.
Peguam Mark Jeyakumar yang mewakili dua tertuduh dalam rayuan memberitahu anak guamnya melakukan kesalahan itu susulan sekumpulan individu peminjam wang tidak berlesen kerap mengganggu mereka.
Kedua-dua tertuduh melakukan pinjaman wang kerana perlu menanggung isteri dan anak masing-masing, selain dua lagi adik mereka berumur 17 dan 14 tahun.
Beliau berkata;
Mereka dijanjikan mendapat bayaran berjumlah RM30,000 dengan melakukan kesalahan mencuri itu.
"Peminjam wang tidak berlesen ini kerap mengganggu empat beradik ini. Mereka terdesak."
Sementara itu, Pegawai Pendakwa Inspektor Mohamad Rabiul Awal Ishak memohon kedua-dua tertuduh dijatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran.
Beliau berkata;
“Mohon mahkamah mengambil kira harta curi itu adalah kenderaan yang digunakan bagi kemudahan awam untuk pengurusan jenazah. Selain itu mohon barang kes (van jenazah) diserahkan semula kepada pemilik asal.”
Selepas menjatuhkan hukuman itu, Majistret mengarahkan barang kes dikembalikan kepada pemilik asal.
Leave a Reply