ENAM individu termasuk seorang bayi dilaporkan maut, manakala pemandu Proton Wira pula mengalami cedera parah dalam satu kemalangan yang berlaku di KM37 Jalan Semporna-Tawau, pada petang Ahad.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Sabri Zainol mengesahkan bahawa kesemua mangsa yang terlibat dalam kemalangan tersebut, iaitu tiga lelaki dan tiga wanita berusia antara enam bulan hingga 82 tahun mempunyai tali kekeluargaan.
Kemalangan itu melibatkan tiga kenderaan iaitu trak pikap, Isuzu D-Max yang dipandu seorang lelaki berusia 31 tahun, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), Toyota Innova dipandu individu berusia 29 tahun, dan Proton Wira yang dipandu lelaki berusia 34 tahun.
Siasatan awal mendapati bahawa kedua-dua kenderaan Isuzu D-Max dan Toyota Innova dalam perjalanan dari Semporna ke Tawau, manakala Proton Wira pula sedang bergerak dari Tawau menuju ke Semporna. Setibanya di lokasi kejadian, Proton Wira dipercayai telah memasuki laluan bertentangan dan menyebabkan perlanggaran dengan trak pikap berkenaan sebelum dilanggar MPV tersebut.
Susulan itu, lima mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang lagi mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Semporna.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun serta denda jika sabit kesalahan.
Siasatan lanjut masih dijalankan dan pihak polis memohon agar saksi kejadian yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan ini supaya menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor A Hemkkumar di talian 012-3650021 atau 089-782020.
SUMBER: SinarHarian
Leave a Reply