TOYOTA diperakui sebagai pengeluar automobil unggul dan terkenal. Hujahnya mudah, Toyota kerap menjadi rujukan apabila sesuatu perbandingan dibuat dengan jenama lain.
Misalnya, ada tercari-cari di mana kenderaan elektrik (EV) Toyota ketika sesebuah EV laris terjual.
Paling terkenal, apabila bercakap mengenai ketahanan, ada memaklumkan Toyota milik mereka atau ahli keluarga tidak mempunyai banyak ragam.
Dalam konteks tempatan, Toyota Hilux begitu popular hingga apa saja model trak pikap akan dirujuk sebagai 'Hailak'. Banyak negara menunjukkan penguasaan Toyota dan salah satu daripadanya ialah Australia.
Pada 2024, Toyota menjual 241,296 unit kenderaan dengan mengatasi rekod tahun lalu sebanyak 238,983 unit. Angka tersebut dan tahun terdahulu menjadi fakta dominasi pasaran Toyota di Australia selama 22 tahun berturut-turut!
Buktinya, hampir satu perlima daripada 1,237,287 unit kereta baharu di Australia dari jenama Toyota dan jualan berkembang 12.1 peratus di sebalik pasaran yang mendatar.
Strategi Toyota yang menumpukan pada kenderaan elektrik hibrid (HEV) ternyata berkesan apabila prestasi 2024 didorong populariti kenderaan itu, terutama RAV4 (foto atas) yang menjadi model terlaris Toyota selepas Hilux.
Rangkaian pengedar Toyota berjaya menyerahkan 118,081 unit HEV dengan memecahkan angka jualan 500,000 unit sejak Prius diperkenalkan pada 2001.
Penguasaan HEV hampir separuh daripada jualan tahunan Toyota dan dijangka bertambah pada 2025 selepas Toyota menawarkan kenderaan penumpang dan SUV kerja ringan hanya dengan trenkuasa hibrid.
Pencapaian Toyota Sepanjang 2024
- Jualan melebihi 200,000 unit selama 13 tahun berturut-turut.
- Tempat pertama dalam segmen kenderaan penumpang, kenderaan utiliti sukan (SUV) dan perdagangan ringan.
- Toyota RAV4 menjadi SUV terlaris di Australia selama lima tahun berturut-turut dengan jualan 58,718 unit, iaitu hampir sekali ganda pada 2023 (25,666 unit).
- Toyota RAV4 juga menjadi model hibrid terlaris Australia dengan jualan RAV4 55,902 unit berbanding 25,666 unit (2023).
- Toyota menjadi jenama SUV terlaris dengan jualan keseluruhan 117,605 unit (LandCruiser Wagon, LandCruiser Prado, Fortuner, Kluger, RAV4, Corolla Cross, bZ4X, C-HR dan Yaris Cross).
- Jualan Toyota Hilux melebihi 50,000 unit buat tahun kempat berturut-turut.
- Sedan penumpang terlaris Toyota Corolla menatatkan 24,027 unit jualan berbanding 19,986 unit (2023).
- Ada lapan model Toyota menguasai segmen masing-masing, iaitu (Corolla, Camry, RAV4, LandCruiser wagon, Hilux 4x2, bas HiAce Commuter, Coaster dan van Hiace).
- Ada tiga model Toyota berada dalam kelompok 10 model terlaris Toyota (RAV4, Hilux and Corolla).
Leave a Reply