BAGI menunjukkan ketahanan dan kelasakan sesebuah model, banyak pengeluar sanggup melakukan pelbagai kempen aneh yang kadangkala tidak terfikir dek akal. Contohnya, pada 1998, Proton Wira dicampak keluar dari pesawat ke Kutub Utara dan selepas mendarat, enjin kereta nasional itu terus hidup!
Satu lagi contoh, pada 1989, bagi menunjukkan kekuatan yang dimiliki Discovery 1, sebuah gerabak panjang kereta api dicangkuk di belakang dan ditunda kenderaan utiliti sukan (SUV) itu. Kemudian, sekali lagi pada Jun 2016, Land Rover mengulangi semula apa yang pernah dilakukan dahulu dan kali ini menggunakan Discovery Sport serba baharu.
TUNDA LEBIH 100 TAN
Tugasnya, menunda gerabak kereta api mewah dengan berat melebihi 100 tan pada jarak 10km berlokasi di Rhine, utara Switzerland.
Berdasarkan spesifikasi rasmi, Discovery Sport mempunyai kekuatan tundaan 2.5 tan, dan SUV tersebut berjaya melakukannya tanpa masalah. Gerabak kereta api itu pula 60 kali ganda lebih berat berbanding keupayaan asas menunda Discovery Sport. Malah, berat beban tundaan itu juga bersamaan dengan sebuah pesawat Boeing 757!
Land Rover Discovery Sport yang digunakan dalam tugasan ini juga masih mengekalkan ciri standard, kecuali roda khas untuk digunakan atas rel. Tugas pemasangan roda besi itu pula dilakukan syarikat Aquarius Railroad Technologies yang fungsinya lebih kepada penstabil kenderaan.
Land Rover Discovery Sport dikuasakan enjin 2.0L diesel Ingenium JLR (Jaguar Land Rover) berkuasa 177hp dan tork 430Nm. Discovery Sport juga dilengkapi pelbagai teknologi tundaan dan cengkaman seperti Respon Terain, Bantuan Tunda, Bantuan Sangkut Tunda dan Kawalan Progres Semua Terain (ATPC).
ATPC ialah sistem semi auto untuk pemanduan off-road yang menetapkan output enjin dan pembrekan automatik. Ini terbukti sangat berguna dalam tugasan luar biasa seperti menunda gerabak kereta api. Dalam bahasa mudah, ATPC ibarat kawalan jelajah (auto cruise) berkelajuan rendah, di mana pemandu hanya perlu mengfokuskan pada jalan atau cabaran di hadapan.
Tetapi kenapa rel kereta api kerap menjadi lokasi Land Rover Discovery? Jawapannya, model-model Land Rover seperti Series II dan pelbagai lagi siri Defender sudah biasa diubah suai untuk bergerak atas rel kereta api bagi memudahkan kerja-kerja penyelenggaraan!
* Durasi video 2:14 minit.
https://www.youtube.com/watch?v=l8rQEQAeET8&feature=youtu.be
Leave a Reply