PADA 5 Disember 2024 lalu, saya dan rakan media dibawa pengedar rasmi kenderaan Leapmotor di Malaysia, Stellantis Malaysia untuk memandu uji Leapmotor C10 melalui perjalanan dari Tap Room KL, Bamboo Hills di Segambut, Kuala Lumpur ke Mangala Estate Boutique Resort, di Kuantan, Pahang.
Perjalanan sejauh lebih 200km ini memberi kami peluang untuk benar-benar merasai kelebihan dan kekurangan kenderaan elektrik (EV) ini.
Hari Pertama: Pemanduan yang Tenang, Nyaman dan Berkuasa!
Kami bertolak jam 9.30 pagi dan tiba untuk makan tengah hari di Si Ji Cafe, Mentakab pada jam 12.30 tengah hari. Selepas menikmati hidangan, perjalanan diteruskan, dan kami tiba di Mangala Estate Boutique Resort pada jam 2.30 petang.
Sepanjang perjalanan, Leapmotor C10 memberikan pengalaman pemanduan yang lancar dan tenang hasil Teknologi CTC 2.0 (cell-to-chassis) yang memaksimumkan integrasi bateri dengan struktur kenderaan. Teknologi ini menyepadukan bateri terus ke dalam casis kenderaan tanpa memerlukan modul atau pek bateri berasingan.
Leapmotor C10 dijana trenkuasa motor elektrik 218ps (160kW) dan tork 360Nm yang menghasilkan pecutan responsif dan bertenaga, manakala jarak pemanduan 470km mengikut Prosedur Ujian Pemanduan Kenderaan Ringan Harmoni Sedunia (WLTP) cukup untuk memberikan ketenangan minda sepanjang perjalanan jauh.
Bateri litium-ion 70kWh boleh dicaj 30-80 peratus sepantas 30 minit menggunakan pengecas DC yang sangat praktikal untuk pemanduan jarak jauh, manakala pengecas standard (AC) mengambil masa 6-8 jam.
Trenkuasa elektrik C10 bukan sekadar mesra alam, tetapi juga mampu memberikan pengalaman pemanduan yang berkuasa, praktikal dan menenangkan.
Malam di Mangala Estate Boutique Resort, kami dihidangkan jamuan makan malam yang turut dihadiri Pengarah Urusn Stellantis Malaysia, Jamie Morais dengan berkongsi pengalaman dan keseronokannya memandu C10.
Sebelum balik ke kamar hotel masing-masing, sesi hari pertama kami dihabiskan dengan mengambil foto ciri C10 yang menarik dilihat ketika malam.
Antaranya adalah ciri lampu ambien kabin yang 'menari' mengikut alunan muzik dan mod tidur (Sleep Mode) yang semudah menekan butang digital pada skrin unit infotainmen, khas untuk pemandu yang mahu berehat ketika penat memandu jauh.
Tahukah anda, tidur di dalam EV adalah jauh lebih selamat berbanding kereta enjin pembakaran dalaman (ICE)?
Hari Kedua: Kembali ke Kuala Lumpur
Hari kedua (6 Disember), kami bertolak pulang pada jam 11.00 pagi ke Awana Genting untuk menikmati santapan makan tengah hari.
Selepas itu, kami meluangkan masa menyaksikan sesi ujian sistem Amaran Perlanggaran Depan (FCW) di satu kawasan lapang di situ sekitar jam 2.30 petang.
Ujian ini menunjukkan keupayaan Leapmotor C10 dalam memberikan amaran awal kepada pemandu tentang kemungkinan pelanggaran, sekali gus menambah keyakinan terhadap ciri keselamatan ditawarkan SUV EV ini.
Kami tiba di Kuala Lumpur sekitar jam 5.00 petang. Walaupun perjalanan agak panjang, sistem audio bunyi keliling 7.1 surround sound dengan 12 pembesar suara berkualiti tinggi memastikan suasana dalam kereta kekal menyeronokkan.
KELEBIHAN
- Pemanduan Sentuhan Maserati: Pengendalian SUV EV ini dikatakan mendapat sentuhan Maserati, iaitu jenama sport mewah yang tidak perlu dipertikaikan lagi reputasinya. Aspek pemanduan nyata cukup mantap tanpa goyah, terutama dalam kelajuan tinggi.
- Teknologi CTC 2.0: Teknologi ini memberikan kestabilan dan kekuatan tambahan kerana bateri disepadu terus dalam casis. Teknologi ini juga mengurangkan berat kenderaan, sekali gus meningkatkan keselamatan dan kecekapan tenaga, termasuk jarak pemanduan, memberikan ekstra ruang kabin dan komponen lain, serta mengurangkan kos pembuatan.
- Teknologi Pemanduan Termaju: Ada 16 ciri Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) yang mampu memberikan keselamatan tambahan, termasuk Kawalan Jelajah Adaptif (ACC) dan amaran Perlanggaran Depan (FCW).
- Kemudahan dan Hiburan: Sistem hiburan yang menyokong aplikasi Spotify terbina dalam membolehkan penumpang menikmati muzik sepanjang perjalanan.
- Sistem audio bunyi keliling 7.1 surround sound dengan 12 pembesar suara nyata mampu memberikan kepuasan maksimum, terutama buat peminat muzik.
- Ada empat port USB, termasuk USB Type-C untuk penumpang depan dan belakang. Penumpang depan juga diberikan pengecas wayarles dan soket 12V.
- Praktikaliti: Ada lapan pemegang cawan dalam kabin untuk memastikan semua penumpang dapat menikmati minuman kegemaran tanpa masalah.
- Ruang Kargo Luas: Ruang but 435 liter boleh diperluas hingga 1,410 liter dengan melipat tempat duduk belakang yang cukup untuk memuatkan bagasi saiz besar.
- Ada Mod Tidur: Sleep Mode direka untuk memastikan penumpang dapat berehat dengan selesa apabila kenderaan tidak bergerak, seperti ketika menunggu kereta dicas, berehat selepas memandu jauh atau lama, ataupun pintu tumah dikunci isteri kerana balik lewat malam.
- Cara mengafktifkan mod tidur ini adalah menerusi unit infotainment utama yang mana kerusi akan direbahkan automatik ke posisi optimum untuk berehat. Pengguna juga boleh memilih pilihan alunan muzik supaya dapat lelap dengan tenang seperti bunyi desiran ombak pantai, bunyi suasana malam dan titis hujan.
- Fungsi Sleep Mode ini juga memberikan nilai tambah kepada aspek keselesaan dan praktikaliti model ini, lebih-lebih lagi EV seperti C10 yang menawarkan jarak pemanduan jauh.
KEKURANGAN
- Suspensi Sedikit Kaku: Walaupun mendapat sentuhan Masertati, tetapi ketika melalui permukaan jalan tidak rata, suspensi terasa agak keras yang mungkin mengurangkan keselesaan penumpang. Apapun ini bukan SUV off-road!
- Ketersediaan Stesen Pengecas: Walaupun jarak pemanduan 470km memberikan kelebihan besar, tetapi kekurangan infrastruktur pengecasan pantas di kawasan luar bandar boleh menjadi cabaran.
- Sistem Navigasi Kurang Intuitif: Sistem navigasi terbina dalam memerlukan masa untuk dikuasai kerana antaramuka yang agak kompleks.
Kesimpulan
Leapmotor C10 ialah pilihan yang ideal buat mereka yang mencari EV moden dengan teknologi pemanduan terkini dan ciri keselamatan termaju.
Walaupun terdapat kekurangan kecil, ia tidak mengurangkan daya tarikan keseluruhan kereta ini. Dengan prestasi mengagumkan dan reka bentuk praktikal, C10 jelas berada di barisan hadapan dalam segmen EV. Perjalanan ini membuktikan Leapmotor C10 sebagai pelaburan berbaloi untuk masa depan pemanduan lestari.
Leave a Reply