BERITA tidak enak datang daripada Nissan beberapa minggu lalu, pengeluar itu mahu mengurangkan 9,000 daripada lebih 130,000 pekerja.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Nissan, Makoto Uchida secara sukarela mengurangkan pendapatan bulanan 50 peratus dan ahli jawatankuasa eksekutif juga bakal mengambil potongan gaji. Keputusan itu diambil selepas syarikat mengalami penurunan jualan.
Harus diakui walaupun jauh ke depan dengan melancarkan kenderaan elektrik (EV) LEAF pada 2010, Nissan masih ketinggalan dan tidak seagresif pengeluar lain, terutama dari China.
Sebagai makluman, Nissan Sylphy begitu popular di China dengan menduduki ranking keempat terlaris pada 2023, dan kedua terlaris pada 2022, manakala tahun sebelum itu Sylphy menduduki tempat pertama kereta terlaris di China.
Ini langkah tepat apabila Dongfeng Nissan memperkenalkan sedan elektrik Nissan N7 2025 di China yang bakal dijual pada penggal pertama 2025. Dongfeng Nissan adalah usahasama 50:50 antara Dongfeng Motor Group dan Nissan Motors.
Nissan N7 2025 ialah model pertama dibangunkan berasaskan platform modular baharu Dongfeng Nissan yang direka khusus untuk kenderaan elektrifikasi. Model ini terlebih dahulu ditayangkan sebagai Nissan Epoch Concept di Pameran Motor Beijing (BMS), April tahun ini.
Berikut perincian Nissan N7 2025:
Luaran
- Nissan N7 2025 dibuat dalam saiz sederhana-besar dengan rekabentuk mengikut trend EV masa kini. Dengan bertali-arus model baharu dari China, rekabentuk dari negara itu sudah menjadi piawaian EV hari ini.
- Rupa depan tampil kemas dan identiti V-Motion menonjol pada model lain digayakan pada garis dan lekuk bampar depan, manakala rekabentuk sisi juga kemas dan menarik dengan cermin tanpa bingkai.
- Sedan EV ini memiliki dimensi panjang 4,930mm, lebar 1,895mm, dan tinggi 1,487mm, manakala jarak roda 2,915mm. Saiz model ini adalah setara Honda Accord generasi ke-11.
Dalaman
- Unit infotainment dikuasakan unit pemproses Qualcomm Snapdragon 8295P.
- Melalui kerjasama dengan peneraju dalam teknologi pemanduan autonomi di China, Momenta, model ini dilengkapi sistem bantuan pemandu canggih, dipanggil Navigate on Autopilot.
- N7 juga menjadi pengenalan pertama model elektrik baharu di China dan sebahagian The Arc, iaitu perancangan jangka masa sederhana Nissan.
Melalui perancangan ini juga, Nissan mahu mempercepat pembangunan dan eksport kenderaan tenaga baharu dari China.
Selain Epoch Concept pada April lalu, Nissan turut memperkenalkan tiga lagi model konsep, iaitu Epic (SUV EV), Era (SUV hibrid plug-in) dan Evo (sedan hibrid plug-in).
Pada Oktober 2023 di Jepun, Nissan memperkenalkan empat model konsep, iaitu Hyper Punk, Hyper Tourer, Hyper Force, Hyper Adventur dan Hyper Urban. Maklumat lanjut mengenai Nissan N7 akan dimaklumkan menjelang jualan rasmi pada 2025 nanti.
Leave a Reply