GREAT Wall Motor (GWM) Malaysia hari ini secara rasmi melancarkan SUV terlaris sembilan tahun berturut-turut di China, Haval H6 HEV pada harga RM139,800.
SUV segmen-C ini terlebih dulu membuka tempahan seawal awal bulan lalu.
Sempena pelancaran ini GWM Malaysia memberikan tawaran istimewa, iaitu:
- Tawaran Pembeli Awal (early birds): Rebat RM3,000 untuk pembeli awal sebelum 20 Oktober ini.
- Tawaran Pelancaran: Servis percuma xx tahun, termasuk caj buruh dan alat ganti, kepada pemilik yang mendaftar pada 2024.
- Tawaran Kesetiaan Pemilik GWM: Tambahan rebat RM3,000 kepada pemilik GWM sedia ada.
Bagi pembelian biasa, GWM Haval H6 HEV 2025 ini dipakejkan bersama:
- Waranti enjin 10 tahun atau 1,000,000km.
- Waranti sistem HEV lapan tahun atau 1,000,000km.
- Waranti kenderaan penuh tujuh tahun atau 200,000km.
SPESIFIKASI GWM HAVAL H6 HEV
SUV kompak ini dijana enjin hibrid 1.5L turbo yang memberikan output kuasa 243ps (241hp) dan tork 530Nm dengan teknologi transmisi Dedicated Hybrid Transmission (DHT).
Pecutan 0-100kmj sepantas 7.7 saat, manakala penggunaan bahan api 5.8 liter per 100km dengan jarak perjalanan hingga 1,000km untuk sekali isian petrol penuh.
Luaran
Menampilkan rekabentuk luaran menawan dan dinamik menerusi lampu utama LED ultra-cerah, dan lampu belakang LED pada but horizontal untuk menambah baik pemanduan yang lebih selamat dan meningkatkan kejelasan atas jalan.
Dari depan, gril Star Matrix menampilkan rekaan geometrik yang menyerlahkan ciri sofistikated selain menambah baik aliran udara untuk prestasi cemerlang.
Lampu brek belakang ala dwi-spoiler di tengah atas but memberikan rupa futuristik selain meningkatkan kejelasan buat pemandu di belakang, terutama ketika membrek.
Melengkapkan gaya luaran SUV ini ialah rim aloi 19 inci dalam rekaan sporty.
Dalaman
Ruang kabin Haval H6 HEV direka untuk keselesaan dan kemudahan terdiri daripada kerusi pemandu elektrik boleh laras 8-tetapan dengan sokongan lumbar.
Ada juga suis Boss Switch yang membolehkan penumpang belakang melaraskan kerusi depan untuk keselesaan tambahan. Kerusi depan juga dilengkapi fungsi ventilasi dan ergonomik, serta tidak dilupakan ciri bumbng suria panoramik.
Dalaman Haval H6 HEV juga dilengkapi butang anjakan gear jenis rotari untuk gaya moden, dan konsol tengah 2-aras untuk menyimpan barangan peribadi secukupnya.
Kapasiti but 560 liter dan tambahan hingga 1,485 liter jika kerusi belakang dilipat 60:40.
Unit infotainment 12.3 inci menyediakan konektiviti Apple CarPlay dan Android Auto dengan pengecas wayarles. Kluster instrumen 10.25 inci di depan pemandu disertakan bersama fungsi paparan dongak (HUD) W-HUD untuk memaparkan maklumat penting ketika memandu.
Ciri Keselamatan
GWM Haval H6 HEV 2025 dilengkapi Sistem Bantuan Pemandu Termaju Tahap Dua (ADAS 2.0) dengan ciri seperti Kawalan Jelajah Adaptif (ACC), Amaran Keluar Lorong (LKA), Pengecam Tanda Jalan (TSR), Bantuan Kekal Lorong (LCA), Pemantau Titik Buta (BSD) dan banyak lagi.
Juga ada ciri Bantuan Undur Automatik (ARA) yang mana sistem dapat mengesan laluan apabila kereta dipandu bawah 30kmj dan boleh diundur dalam laluan sama hingga 50 meter.
SUV ini memiliki enam beg udara dan menggunakan 71.6 peratus casis daripada keluli tegangan tinggi dan keluli termo 2000MPa untuk perlindungan setiap sudut badan kenderaan.
Leave a Reply