TAHUKAH anda? Pasaran kereta di Jepun sukar ditembusi pengeluar asing dan cukup mencabar untuk mengekalkan keberadaan sesebuah jenama dari luar.
Antara cabaran perlu dihadapi adalah persaingan sengit, dinamika pasaran, cita rasa pengguna, peraturan keselamatan dan emisi dan rangkaian jualan dan khidmat selepas jualan.
Bagaimanapun, cabaran tersebut dapat diuruskan beberapa pengeluar asing dan menariknya Proton Satria Neo pernah dijual di sana.
Antara pengeluar yang menjual kereta di sana ialah Hyundai walaupun pernah mengundur diri pada 2014. Hyundai kembali pada 2022 dan setakat ini menawarkan kenderaan elektrik (EV) seperti IONIQ 5 dan IONIQ 5 N, Kona dan Kona N Line, termasuk model hidrogen Nexo FCEV.
Terbaharu Kia mendedahkan model Platform Beyond Vehicle (PBV) yang bakal ditawarkan di Jepun pada awal 2026 dan sudah menandatangani perjanjian dengan syarikat tempatan, Sojitz.
Pengembangan ke pasaran Jepun adalah salah satu tonggak penting terbaharu dalam strategi PBV global Kia selepas model konsep dan ekosistem PBV dipamerkan dan dibentangkan di Las Vegas, Busan dan Frankfurt.
Kia bakal membangunkan siri PBV khusus bagi memenuhi keperluan pelanggan di Jepun, dan model pertama itu ialah PV5 yang kini sedang dibangunkan sebagai model saiz sederhana bagi menepati keperluan pasaran di sana.
Kia turut merancang membangunkan ekosistem PBV menerusi kerjasama dan perkongsian dengan pelbagai syarikat tempatan. Satu lagi model iaitu PV7 akan menyusul selepas PV5.
PBV ialah kenderaan yang boleh dikeluarkan dalam pelbagai bentuk mengikut kegunaan pelanggan dan dibangunkan berasaskan platform PBV-EV khas.
Bagi memenuhi permintaan global, Kia membina Kilang EVO baharu yang canggih di Hwaseong, Korea, yang juga kilang PBV-EV khusus pertama syarikat itu.
Operasi Kia di Jepun
- Kerjasama dengan Sojitz dijangka dapat meningkatkan kesedaran jenama dan meningkatkan jualan.
- Sojitz ialah syarikat perdagangan umum utama di Jepun dan mempunyai perniagaan peringkat antarabangsa dalam pelbagai bidang seperti jualan kenderaan, tenaga, logam, kimia, makanan dan pengedar Kia di Panama.
- PV5 akan mula dijual di Jepun melalui rangkaian Sojitz pada 2026.
- Langkah pertama menumpukan pasaran van EV di Jepun dengan jangkaan permintaan terus berkembang selain meneruskan kerjasama dengan syarikat tempatan berkaitan bagi menghidupkan pasaran dan mewujudkan ekosistem PBV melalui pelbagai kerjasama masa depan.
- PV5 dilengkapi kaedah pengecasan CHAdeMO seperti EV lain di Jepun, selain teknologi Vehicle-to-Everything atau V2X dengan pengecasan dua hala.
- PV5 akan menjadi pentas buat Kia menonjolkan perniagaan dan gaya hidup baharu kepada pelanggan.
- Sebelum memulakan jualan PBV pada awal 2026, Kia akan giat mempromosi model dan ekosistem perniagaan PBV di pameran mobiliti bagi membolehkan pengguna merasai sendiri pengalaman itu.
Leave a Reply