INSIDEN ngeri menimpa bekas pelumba Moto 3 dan Cub Prix negara, Elly Idzlianizar Elias, 40, yang maut akibat ditetak dan ditikam menggunakan pedang samurai berpunca daripada pergaduhan yang berlaku di Kangar, Selasa lalu.
Kejadian berlaku sekitar jam 9-10 malam selepas mangsa pergi ke rumah suspek lelaki berusia 51 tahun beralamat di Taman Behor Gonchar Jaya, Jalan Dato Ali, Kangar.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata;
Berdasarkan maklumat yang kita terima berlaku pergaduhan membabitkan empat individu termasuk mangsa di laluan masuk persimpangan jalan Taman Behor Gonchar Jaya.
"Apabila anggota polis sampai di tempat kejadian, didapati mangsa dan tiga lagi individu yang terbabit dalam pergaduhan itu sudahpun dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk menerima rawatan.
"Namun mangsa (Elly Idzlianizar) bagaimanapun meninggal dunia sekitar jam 12.30 tengah malam semalam (Rabu) akibat mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan dan tangan dipercayai kerana ditetak menggunakan senjata tajam."
Susulan kejadian itu, pihak polis telah menahan tiga suspek berusia antara 28 hingga 51 tahun yang dipercayai terlibat dalam pergaduhan di beberapa lokasi berasingan di sekitar Kangar.
Polis turut merampas barangan suspek seperti telefon bimbit, perakam video digital, dan pedang samurai bersaiz 112sm.
Hasil bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, mendapati mangsa parah akibat pendarahan termasuk di saluran darah disebabkan 10 hingga 12 kesan tetakan pada badan. Berikut perincian kesan tetakan tersebut:
- Satu di bahagian tangan kanan
- Tiga di bahagian tangan kiri
- Tujuh hingga lapan di bahagian belakang badan
Berikut maklumat berkaitan suspek terlibat:
- Suspek utama berusia 51 tahun dipercayai positif dadah dan ada sembilan rekod jenayah lampau melibatkan cubaan membunuh dan dadah.
- Suspek kedua berusia 28 tahun bekerja sebagai buruh di Arau dan ada 12 rekod jenayah lampau melibatkan pelbagai jenayah dan dadah.
- Suspek ketiga berusia 31 tahun ialah anak kepada suspek utama dan ada lima rekod jenayah lampau melibatkan pelbagai jenayah dan dadah.
Semua suspek direman hingga 17 September mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, manakala jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Utan Aji, Kangar semalam.
SUMBER: AstroAwani
Leave a Reply