PENGELUAR automotif Jerman, BMW membuat panggilan balik kenderaan elektrik (EV) MINI Cooper SE kerana dikuatiri mengalami masalah berkaitan bateri dan berisiko terbakar.
Isu itu dijangka menjejaskan lebih 140,000 unit kenderaan seluruh dunia, menurut jurucakap pengeluar itu kepada agensi berita Reuters. Di Jerman, kira-kira 39,000 unit kenderaan dipercayai terlibat dalam kempen itu.
BWM menjelaskan, setakat ini belum ada laporan sebarang insiden kemalangan atau kecederaan disebabkan masalah berkenaan.
Masalah itu dikatakan boleh menyebabkan sistem bateri EV tersebut bertukar menjadi terlebih panas dan berisiko terbakar walaupun dalam kondisi diparkir.
Di Amerika Syarikat (AS), kempen panggil balik sudah melibatkan 12,535 unit MINI Cooper SE keluaran 2020 hingga 2024 disebabkan masalahan sama.
Laporan panggil balik agensi keselamatan AS, Pentadbiran Keselamatan Lebuh Raya Kebangsaan (NHTSA) menyatakan bateri voltan tinggi itu mungkin tidak dihasilkan mengikut spesifikasi BMW. Bagaimanapun, dokumen itu tidak menyatakan secara jelas punca sebenar.
Leave a Reply