PENGENALAN kenderaan elektrik (EV) Proton e.MAS 7 baru-baru ini agak mengejutkan kerana tidak dihebahkan awal kecuali pengumuman subjenama e.Mas pada Jun lalu. Tambahan lagi kelibat model samaran juga belum ditemui di jalan raya tempatan.
Seperkara mengejutkan, Proton memaklumkan e.MAS 7 bukan sekadar model dijenama semula (rebadge), tetapi dibangunkan bersama Geely.
Model EV itu membabitkan 230 jurutera dan pereka Proton yang terlibat sejak awal dengan mengambil 700,000 masa manusia dan 10 juta kilometer ujian kenderaan serta tambahan 30,000km ujian penyesuaian ketahanan hingga 100,000km ujian reliabiliti.
Pengenalan itu dibuat dalam bentuk pelekat penuh tanpa butiran didedahkan, tetapi rekabentuk yang mirip (atau sebenar?) dapat dilihat pada Geely Galaxy E5 yang diperkenal di China pada 3 Ogos baru-baru ini.
Menurut siaran media rasmi, Galaxy E5 dibangunkan untuk pasaran antarabangsa sejak awal lagi. Model tersebut dibangunkan berasaskan platform Arkitektur Tenaga Baharu Pintar Global (Global Intelligent New Energy Architecture, GEA) dengan rekabentuk minimalis yang memenuhi keperluan pengguna sedunia.
Fakta yang dilihat menyokong penglibatan Proton adalah Geely sudahpun menguji, merekabentuk dan menyiapkan kedua-dua versi pemanduan kanan (RHD) dan kiri (LHD) hasil daripada pasukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) Geely dari serata dunia.
Ini dapat menterjemahkan kefahaman mendalam pengeluar itu untuk menghasilkan model kelas dunia. Malah Galaxy E5 dikatakan mematuhi keperluan undang-undang di 89 negara.
Galaxy E5 dilengkapi sistem pemanduan elektrik pintar, bateri bilah pendek (short blade battery), teknologi sel ke-badan (cell-to-body, CTB), iaitu unit bateri disepadukan dengan badan kereta) dan berfungsi sebagai komponen struktur kereta.
Berikut dimensi Geely Galaxy E5 2025:
- Panjang 4,615mm x lebar 1,901mm x tinggi 1,670mm
- Jarak roda 2,750 mm
Ciri Geely Galaxy E5 2025
- Bateri bilah pendek litium-besi-fosfat (LFP) Aegis
- Ada dua jenis bateri, 49.52kWj dan 60.22kWj
- Jarak pemanduan 440km dan 530km
- Kuasa 160kW (214hp) dan tork 320Nm
- 112,800 yuan (RM70,350) hingga 148,000 yuan (RM92,300)
Selepas China, Galaxy E5 akan diperkenal di pelbagai pasaran antarabangsa, dan setakat enam bulan pertama 2024, jualan antarabangsa Geely kini sebanyak 197,428 unit atau lonjakan 67 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
SUMBER: Geely|CarNewsChina
Leave a Reply