MINGGU yang sibuk buat Honda berikutan pelancaran Civic Si di Amerika Syarikat (AS), Civic rupa baharu (facelift) di Thailand dan pengenalan Civic RS di Jepun.
Sebelum pengenalan rasmi, Honda terlebih dahulu membawa model itu dalam bentuk Civic RS Prototype pada Tokyo Auto Salon (TAS) 2024, Januari lalu.
Dikeluarkan sejak 2021, sekarang masa tepat untuk model rupa baharu mengambil tempat. Seperti dalam artikel terdahulu, Honda Civic Si tampil istimewa di AS kerana menjadi satu-satunya Civic yang kekal dengan enjin 1.5L VTEC Turbo dan kotak gear manual 6-kelajuan.
Honda USA turut menghentikan tawaran enjin 1.5L VTEC Turbo pada varian lain yang dijana trenkuasa hibrid 2.0L e:HEV atau aspirasi natural (NA) 2.0L.
Honda City Hatchback RS di Malaysia
Secara tradisi, Civic Si memegang karakter sporty selain Type S dan sekarang ini Honda banyak mengetengahkan nama RS. Contohnya, RS di pasaran tempatan digunakan pada kedua-dua trenkuasa e:HEV dan enjin biasa, manakala karya agung Honda semestinya terletak pada Type R.
Berbeza Civic Si di AS, Honda Civic RS 2025 pasaran Jepun menggunakan gaya badan hatchback. Civic Hatchback di Jepun sebelum ini (2024), ditawarkan dalam varian EX dan LX yang kedua-duanya diberikan pilihan transmisi automatik CVT atau manual 6-kelajuan.
Walaupun gaya badan sama seperti Civic Type R, tetapi itu bukan bermakna kerja pengubahsuaian boleh dibuat begitu saja kerana sosok badan model hatchback lebih langsing.
Sebagai makluman, Civic hatchback generasi ke-10 (FC) dibawa masuk pengimport bebas ke pasaran tempatan pada harga yang tidak murah, tetapi memberi kelainan berbanding ribuan Civic lain.
Maklumat diberikan mengenai Honda Civic RS versi Jepun agak terhad hingga pelancaran rasmi pada musim luruh depan (bermula pertengahan September).
Ciri dikongsi Honda seperti penggunaan sistem padanan rev, transmisi manual dengan tindak balas yang dipertingkat dan suspensi khas bagi memenuhi keperluan pelanggan.
Sistem padanan rev juga dilengkapi pada Civic Si selain roda tenaga (flywheel) jisim tunggal (single-mass) ringan memberikan respons terotel spontan yang turut dilengkapi diferensial gelincir terhad (LSD) helikal.
Enjin VTEC Turbo pada Honda Civic Si menghasilkan 200hp dan tork 260Nm. Pengenalan Civic RS juga dibuat bersama Civic e:HEV 2025 yang dinamakan Honda sebagai Sport e:HEV.
Sebagai rujukan, Honda Civic Hatchback EX dan LX 2024 mennghasilkan output kuasa 179hp@ 6,000rpm dan tork 240Nm @ 1,700rpm-4,500rpm.
Berdasar perbandingan, kami optimis Honda Civic RS adalah setara Civic Si dan lebih berkuasa daripada Civic EX dan LX.
Honda Civic e:HEV 2024 memiliki kuasa 138hp @ 6,000rpm dan tork 182Nm @ 4,500rpm, manakala motor elektrik menghasilkan kuasa 181hp @ 5,000-6,000rpm dan tork 312Nm @ 0-2,000rpm.
Leave a Reply