INI adalah hari terakhir pameran automotif Art of Speed 2024 yang juga peluang terbaik untuk melihat ‘superbike’ Yamaha Y1000ZR di MAEPS, Serdang di Selangor.
Motosikal luar biasa itu dibangunkan dengan menggunakan supermoped Yamaha Y15ZR dengan kacukan enjin 1,000cc Yamaha R1 jenis flatplane (bukan versi crossplane).
Proses campuran petrol dan udara dibantu dengan empat unit karburator. Kotak gear pula diambil daripada Yamaha FZ1 (1,000cc).
Casis asal Y15ZR turut dibedah dengan membuat sambungan frem untuk memeluk enjin satu liter itu. Malah modifikasi tambahan dibuat di bahagian atas dengan tiub berkembar untuk menguatkan pegangan enjin.
Fork terbalik diambil daripada model Suzuki dan pengapit fork (triple clamp) adalah komponen ciptaan sendiri.
Rim aloi digunakan dipinjam daripada motosikal Aprillia. Roda depan dilengkapi brek cakera berkembar dengan kaliper Tokico 4-piston.
Kaliper belakang dwi-piston untuk brek cakera tunggal adalah komponen kustom dengan ukiran HS55.
Begitu juga swingarm Tonnka yang merupakan binaan sendiri dan dibentuk melalui proses CNC turut tertera HS55.
Peg kaki diguna berjenama Lightech Racing. Sistem ekzos adalah binaan sendiri dengan tertera jenama Tonnka beserta teks direka oleh Larry Cheng iaitu individu disebalik ciptaan motosikal itu dengan kolaborasi Rudy GTB.
Set panel panel dihiasi rona merah, biru dan putih mirip pasukan JDT Racing dan dihiasi liveri bersama logo pasukan itu di sebelah sisi fairing depan. Panel depan memaparkan angka 55 dan Johor.
Perubahan turut dibuat pada lampu utama dengan paparan bendera Malaysia. Modifikasi lain ialah tangki minyak dibesarkan kepada 11 liter. Cabaran utama ialah aspek pendawaian. Larry mengakui beliau mengambil masa lama untuk menyesuaikan pendawaian R1 dengan Y15.
Leave a Reply