DAIHATSU Sigra tersenarai sebagai kenderaan paling hangat di Indonesia dengan jualan terkumpul lebih 26,000 unit dalam tempoh enam bulan pertama 2024 (Januari-Jun).
Model kenderaan pelbagai guna (MPV) 7-kerusi itu turut menyumbang jumlah jualan tertinggi untuk jenama Daihatsu di republik itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Ada beberapa faktor utama mendorong pengguna melihat Sigra sebagai MPV pilihan, iaitu faktor harga mampu milik, efisien bahan api, ruang kabin luas, banyak ciri moden, kos selenggara murah dan nilai jual balik (resale value) tinggi selain turut digunakan sebagai teksi.
Data Gabungan Industri Kendaraan Bermotor Indonesia (GAIKINDO) pada 2023 menunjukkan Daihatsu Sigra merekodkan jualan 63,285 unit dengan memiliki 58.5 peratus pegangan pasaran.
Sempena Pameran Auto Antarabangsa Indonesia GAIKINDO (GIIAS) 2024, Astra Daihatsu Indonesia (Daihatsu Indonesia) membawa Sigra 1.2L R AT untuk dipamerkan bersebelahan replika Sigra kadbod di Konvensyen Pameran Indonesia Bandar Bumi Serpong Damai (ICE BSD) di Tangerang hingga 28 Julai ini.
Berikut perincian Daihatsu Sigra 1.2L R AT:
- Varian tertinggi ditawarkan dalam lima produk Sigra di Indonesia.
- Ditawarkan pada harga Rp178.8 juta (RM51,300) seunit.
- Enjin 4-silinder sebaris 16-injap 3NR-VE 1,197cc DOHC Dual VVT-i dengan sistem suntikan bahan api berkuasa 87hp @ 6,000rpm, dan tork 107Nm @ 4,200rpm.
- Sistem transmisi automatik 4-kelajuan.
- Brek parkir konvensional ditempatkan antara kerusi pemandu dan penumpang depan.
- MPV 7-kerusi dengan konfigurasi 2-3-2.
- Ada perehat lengan untuk kerusi barisan depan.
- Semua kerusi menggunakan balutan material fabrik.
- Dimensi panjang 4,110mm, lebar 1,655mm dan tinggi 1,600mm, manakala jarak roda 2,525mm dan jarak tinggi bumi 180mm.
- Berat 1,500kg (berat bersih 990kg).
- Kapasiti tangki petrol 36 liter.
- Stereng jenis rack & pinion jenis kuasa elektrik (EPS) dengan radius pusingan 4.5 meter.
- Brek cakera untuk roda depan, dan brek dram di belakang.
- Rim aloi 14 inci dengan tayar saiz 175/65. Ada tayar ganti disimpan bawah kenderaan.
Leave a Reply