DATA jualan kenderaan dikeluarkan Persatuan Automotif Malaysia (MAA) hari ini mendedahkan momentum peningkatan sepanjang enam bulan pertama 2024 dengan jumlah jualan kenderaan (TIV) berdaftar setakat Jun tahu ini mencatatkan angka 390,296 unit berbanding 366,176 unit dalam tempoh sama tahun lalu.
Tambahan 24,120 unit itu mencatatkan peningkatan 6.6 peratus yang menunjukkan pertambahan besar dalam segmen kenderaan penumpang.
Berdasarkan statistik di atas, angka jualan kenderaan penumpang mencatatkan pertumbuhan 30,162 unit daripada tempoh sama tahun lalu, iaitu sebanyak 9.2 peratus.
Bagaimanapun, jualan kenderaan komersial merosot 6,042 unit, atau 15.3 peratus berbanding tahun lalu, dipercayai terkesan akibat dasar penyasaran subsidi diesel yang dilaksanakan Kerajaan.
Melihat statistik di atas, kecuali Mac dan Jun 2024, angka jualan bulan lain menunjukkan trend peningkatan bulan-ke-bulan berbanding tahun terdahulu. Antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan TIV penggal pertama tahun ini adalah:
- Daya tahan ekonomi domestik berikutan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.2 peratus pada suku pertama 2024.
- Kadar Dasar Semalaman (OPR) kekal stabil pada 3 peratus sejak Mei 2023 memberikan persekitaran ekonomi menggalakkan.
- Kestabilan sosio politik.
- Kestabilan pasaran pekerjaan.
- Banyak tempahan tertangguh terutama pasaran segmen-A.
- Kejayaan pelancaran model baharu dengan kehadiran model baharu dengan ciri menarik dan mampu milik yang diterima pasaran.
- Peningkatan jualan kenderaan elektrik bateri (BEV) atau elektrik penuh menerusi pengenalan banyak model baharu sepanjang penggal pertama 2024.
Bagaimanapun, MAA tidak mendedahkan punca kemerosotan TIV kenderaan komersial sepanjang enam bulan pertama tahun ini. Namun pemerhati berpendapat ia berpunca daripada dasar penyasaran subsidi untuk bahan api diesel walaupun Mekanisme Harga Automatik (APM) hanya diumumkan pada 9 Jun lalu.
Leave a Reply