HYUNDAI Motor Group (HMG) mula menggunakan robot DAL-e Delivery Hyundai Motor dan Kia, dan robot parkir Hyundai WIA di Factorial Seongsu yang menjadi bangunan pejabat mesra robot di Seoul, Korea.
Di bangunan Factorial Seongsu itu, pengguna boleh menikmati minuman dihantar robot DAL-e dan khidmat parkir daripada robot parkir yang mengggunakan teknologi terkini HMG.
Tidak hanya menugaskan dua robot pekerja, HMG turut mencadangkan pelan pembangunan Solusi Total Robot (RTS) melibatkan penggunaan pelbagai robot dan sistem pengecaman wajah di bangunan pintar itu bermula di Factorial Seongsu.
HMG juga berhasrat membangunkan sistem kawalan pelbagai bersepadu bagi menguruskan pelbagai robot penghantaran dalam RTS.
Robot DAL-e Delivery
Pengunjung restoran India Muslim di negara kita mungkin sudah biasa dengan robot penghantar pesanan, tetapi robot daripada Hyundai dan Kia ini pula lebih canggih.
Ciri menonjol robot DAL-e Delivery adalah keupayaan gerakan autonomi dalam bangunan. DAL-e Delivery mempunyai teknologi yang boleh berhubung dengan lif dan sistem kawalan pintu.
Robot ini juga mampu melakukan penghantaran pantas dengan mengenal pasti laluan optimum pada masa nyata (realtime) dengan skrin definisi tinggi (HD) 11.6 inci memaparkan maklumat perkhidmatan dilakukan.
Ciri dan Cara Kerja Robot DAL-e Delivery
- Mengambil minuman dipesan pelanggan melalui aplikasi telefon dari kafeteria di tingkat bawah sebelum hantar ke lokasi ditetapkan.
- Mengecam penerima di lokasi penghantaran melalui kamera dan teknologi kepintaran buatan (AS) pengecaman wajah yang dibangunkan Robotics LAB dengan ketepatan 99.9 peratus.
- Dulang barang dikeluarkan automatik untuk menyerahkan minuman.
- Mempunyai kapasiti muatan 16 cawan kopi dan berat barangan hingga 10kg pada satu-satu masa.
HMG mahu menambah jumlah robot DAL-e Delivery selain memperluas perkhidmatan robit itu merangkumi penghantaran kurier dan surat pada masa depan.
Robot Parkir Hyundai WIA
Pernahkah anda menonton rakaman video di media sosial yang mana robot seperti papan bergerak ke bawah kereta dan mengalihkan kenderaan itu dari satu tempat ke satu tempat lain? Itu bukan gimik kerana robot sebegitu memang wujud.
Robot Parkir Hyundai WIA boleh meletakkan kereta secara autonomi dengan berat hingga 2.2 tan dan pada halaju hingga 1.2 meter per saat.
Robot ini direka bergerak dalam pelbagai arah, termasuk menggerakkan kereta dalam ruang sempit dan letak di ruang sukar. Keupayaan tersebut dapat menjimatkan ruang dan dimanfaatkan sebaiknya.
Apabila pelanggan memerlukan kereta, robot parkir tersebut akan mengeluarkan kenderaan dari petak parkir dan meletakkan semula secara automatik apabila dipulangkan. Ini kali pertama Robot Parkir autonomi dikomersialkan di Korea.
Ciri dan Cara Kerja Robot Parkir Hyundai WIA
- Sistem parkir autonomi terdiri daripada robot dua lapis dan lebar yang bergerak bawah kereta untuk mengangkat dan menggerakkan roda.
- Hanya setebal 110mm dan sesuai untuk pelbagai jenis kenderaan.
- Dilengkapi kamera dan mampu mengecam saiz roda dengan tepat dan kedudukan untuk mengangkat.
- Menggunakan sensor LIDAR (light detection and ranging) untuk mengesan manusia berdekatan untuk mengelak kemalangan.
Sistem Kawalan Parkir Pintar dan Robot Pengecasan Automatik (ACR)
Hyundai WIA turut membangunkan Sistem Kawalan Parkir Pintar yang boleh mengawal 50 robot parkir serentak. Sistem ini membolekan Robot Parkir bergerak melalui laluan optimum untuk menggagihkan sejumlah kenderaan dengan cekap.
Pada masa depan, sistem ini dapat mengesan dan bertindak balas terhadap kedua-dua kenderaan yang diletakkan manusia dan situasi di tempat letak kereta tanpa pengawasan.
Bermula suku ketiga tahun ini, Robot Parkir akan bertugas dengan 'rakan sekerja', iaitu Robot Pengecasan Automatik (ACR) bagi menawarkan khidmat pengecasan kenderaan elektrik (EV).
Ciri dan Cara Kerja Robot Parkir dan ACR:
- Robot Parkir menghantar kereta ke tempat pengecasan.
- ACR mengenal pasti nombor pendaftaran kereta, memeriksa status bateri dan mengecas.
- ACR dilengkapi teknologi pengesanan port pengecasan berasaskan pembelajaran mendalam (deep learning) dan berupaya mengecam port pengecasan EV.
- ACR boleh memasukkan dan mengeluarkan pengecas berdasarkan status bateri kenderaan.
- Selepas pengecasan selesai, Robot Parkir menghantar semula kereta ke ruang meletak kenderaan.
Leave a Reply