GWM Malaysia membuka tempahan kenderaan utiliti sukan (SUV) GWM TANK 300 untuk pasaran tempatan sempena pameran Malaysia Autoshow (MAS) 2024 pada harga anggaran RM250,000.
Diposisikan sebagai SUV saiz pertengahan, GWM TANK 300 tampil sebagai SUV off-road dengan rekabentuk luaran berkotak, maskular dan kabin serba mewah dalam kemasan kulit Nappa.
Berikut spesifikasi GWM TANK 300:
- Dijana enjin petrol 4-silinder sebaris 2.0L turbo dengan output kuasa 220ps (217hp) dan tork 380Nm.
- Transmisi automatik ZF 8-kelajuan dan sistem pacuam semua roda separuh masa dengan fungsi 2H, 4H dan 4L, termasuk kunci diferensial depan dan belakang.
- Memiliki dimensi panjang 4,760mm, lebar 1,930mm dan tinggi 1,903mm, manakala jarak roda 2,750mm dan jarak tinggi bumi 224mm dengan kemampuan meredah kedalaman air sedalam 700mm.
- Rim 18 inci dengan tayar Michelin Primacy SUV.
- Dilengkapi teknologi bantuan pemandu Level 2 seperti Amaran Keluar Lorong (LDW), Brek Kecemasan Automatik (AEB), Kawalan Jelajah Adaptif (ACC), dan Bantuan Lebuh Raya (Highway Assist).
- Rekaan papan pemuka seakan mengambil ilham Mercedes-Benz G-Class dengan unit infotainment warna penuh 12.3 inci berserta konektiviti Apple CarPlay dan Android Auto, termasuk dilengkapi ciri pengecas wayarles, upholsteri kulit, perehat lengan tengah dengan ruang storan, bumbung suria dan pedal syif.
- Ada sembilan pembesar suara premium akustik dinamik INFINITY.
- Ada sembilan mod pandu untuk kawalan pelbagai kondisi rupa bumi.
Semua model awal ini ialah unit import penuh (CBU). Bagi 300 tempahan pertama akan mendapat pakej servis percuma lima tahun atau 100,000km (mana satu tiba dulu), termasuk caj buruh dan alat ganti.
Menariknya, GWM Malaysia menawarkan waranti sepanjang hayat dengan perbatuan tanpa had kepada pembeli pertama, termasuk hadiah misteri yang akan didedahkan pada pelancaran rasmi nanti.
Pada acara MAS 2024, GWM Malaysia turut mempamerkan SUV hibrid, GWM Haval H6 HEV dan model kenderaan elektrik (EV), Ora Good Cat dan Ora 07 kepada pengunjung.
Leave a Reply