KENDERAAN elekrtik (EV) hari ini menggunakan motor elektrik yang dipasang pada gandar depan atau belakang atau kedua-duanya sekali.
Selain bentangan itu, ada satu teknologi yang dipanggil in-wheel motor atau IWM yang menjana terus kuasa di dalam roda kenderaan.
Maknanya, kenderaan dengan IWM tidak memerlukan motor di tempat biasa dan perkakasan berkaitan. Di antara syarikat yang memiliki dan membangunkan teknologi IWM ialah Protean Electric di bawah BEDEO Group.
BEDEO diasaskan pada 2009 oleh Osman Boyner. Ibu pejabat syarikat terletak di Farnham, United Kingdom dengan pengeluaran di Turkiye dan China.
Menurut Protean Electric, IWM yang juga dikenali hab motor memiliki beberapa kelebihan seperti tindak balas tujahan yang dipertingkatkan, pengendalian lebih baik, pecutan lebih pantas, tempoh pengecasan lebih pendek dan jarak pemanduan lebih jauh.
Syarikat telah menghabiskan lebih sedekad dan sejuta jam bagi menyempurnakan teknologi IWM miliknya dan menjelajah lebih dua juta kilometer (km) menggunakan 31 jenis kenderaan berbeza.
Selepas melabur masa, tenaga dan sumber, BEDEO akhirnya memperkenalkan Reborn Electric: Icons Land Rover Defender dan produk pertama dalam misi pengubahsuaian model legenda.
BEDEO menjadi syarikat pertama di dunia yang menawarkan pakej pengubahsuaian elektrik kereta klasik menggunakan IWM.
Defender elektrik ini dilengkapi bateri 75 kilowatt-jam (kWj) dan anggaran jarak pemanduan (WLTP) 247 kilometer (km).
Turut dilengkapi pengecas dalaman (on-board) 22 kW dan boleh dicas sehingga penuh dalam tempoh lima jam.
Pelanggan juga boleh memesan pengecas pantas 50 kW yang hanya memerlukan masa pengecasan selama 90 minit.
Defender membuka langkah pertama dan teknologi IWM BEDEO boleh digunakan di dalam pelbagai jenis kenderaan.
Pelanggan BEDEO bebas untuk menetapkan spesifikasi kenderaan mereka dan menjadi rakan usaha sama secara aktif.
Di luar sana sudah ada syarikat yang menawarkan pakej pengubahsuaian model klasik kepada EV dan seperti yang dinyatakan, projek BEDEO ini unik kerana menggunakan teknologi IWM.
IWM tidak masuk air? Pemilihan Defender sebagai kenderaan lasak menjadi bukti dan gambar yang disertakan menunjukkan jip ini sedang mengharungi air.
Selain itu, amat menarik sebenarnya untuk mengetahui bagaimana daya kilas atau tujahan diuruskan memandangkan motor berada di dalam roda.
Satu lagi persoalan, bagaimana atau jenis dan ketahanan tayar yang dapat menampung beban IWM di dalam roda?
Leave a Reply