XIAOMI mengumumkan 88,898 pesanan diterima untuk kereta elektrik pertama jenama itu, SU7 dalam tempoh 24 jam selepas pelancaran.
Sesi pandu uji bermula Jumaat lalu di 59 bilik pameran dan jualan sekitar 29 bandar di China hingga menyebabkan kesesakan teruk.
Deposit perlu dibayar pelanggan untuk membuat tempahan adalah kira-kira 5,000 yuan (RM3,270).
Xiaomi SU7 akan dipasang BAIC Off-road Vehicle Co, iaitu subsidiari BAIC di kilang baru Xiaomi di Beijing. Menariknya, BAIC juga pemegang saham terbesar dalam Mercedes-Benz yang memiliki 9.98 peratus pegangan dalam saham pengeluar automotif dari Jerman itu.
Kilang baru Xiaomi mula dibina pada April 2022 dan siap Jun tahun lalu, dan memohon lesen jualan pada November 2023, manakala pengeluaran percubaan di kilang bermula Disember 2023.
Kini pengeluaran secara massa sudahpun bermula yang mana penghantaran kepada pelanggan dijadualkan bermula akhir bulan ini. Xiaomi SU7 dijual pada harga bermula 215,900 yuan (RM141,070).
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Xiaomi, Lei Jun berkata, harga itu diputuskan pada malam sebelum pelancaran dengan matlamat memintas harga Tesla Model 3 sebanyak 30,000 yuan (RM19,600).
Tesla Model 3 kini dijual pada harga 245,900 yuan (RM160,680) di China untuk model asas dengan bateri 60kWh CATL dan jarak pandu CLTC 606km.
Varian Xiaomi SU7 paling premium ialah AWD dengan dwi-motor dan output kuasa 495kW (663hp). Bateri Qilin 101kWh daripada CATL pula mampu memberikan jarak pemanduan CLTC 800km.
Xiaomi SU7 memiliki dimensi panjang 4,997mm, lebar 1,963mm dan tinggi 1,440mm, manakala jarak roda 3,000mm.
SUMBER: CarNewsChina
Leave a Reply