BMW Group mengumumkan kerja-kerja pembinaan sebuah kilang pengeluaran bateri bervoltan tinggi Gen-5 baharu sedang dijalankan di Rayong, Thailand.
Ini menandakan BMW Group sedang menyiapkan satu lagi fasiliti pengeluaran untuk menjayakan projek penghasilan kenderaan elektrik penuh.
Berdasarkan maklumat, pengeluaran kenderaan elektrik berasaskan bateri (BEV) dijangka bermula pada pertengahan tahun 2025 di Thailand.
Kilang baharu seluas 4,000 meter persegi itu akan memainkan peranan penting dalam aktiviti pembuatan BMW Group Manufacturing Thailand. Fasiliti itu akan memasang sel-sel bateri yang diimport ke dalam modul sebelum dijadikan pek bateri bervoltan tinggi.
BMW Group melabur lebih 1.6 bilion baht (RM210 juta) dalam projek tersebut dan daripada jumlah itu, 1.4 bilion baht (RM184 juta) akan digunakan untuk pembelian sistem dan peralatan berteknologi tinggi.
Sebenarnya, BMW Group sudah menghasilkan bateri voltan tinggi di Thailand sejak 2019 untuk model kenderaan PHEV tempatan.
Kilang BMW yang sedia ada di Rayong terlibat dalam penghasilan hampir 24 model kenderaan jenama BMW, MINI dan motosikal BMW Motorrad untuk pasaran domestik dan ASEAN. Sepanjang tahun 2023, kilang di Rayong menghasilkan lebih 12,000 kereta dan hampir 11,000 unit motosikal.
Leave a Reply