TIADA rancangan membina sebuah lapangan terbang baharu di Sabah.
Perkara itu dinyatakan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook kerana pembinaan sebuah lapangan terbang baharu akan melibatkan peruntukan besar (perbelanjaan).
Sebaliknya, Kementerian Pengangkutan mahu mencari cara mengoptimum sepenuhnya lapangan terbang sedia ada, iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).
Beliau berkata;
Cadangan untuk pembinaan lapangan terbang baharu di Sabah itu jauh dari Kota Kinabalu. Saya rasa 40 hingga 50km dari Kota Kinabalu.
"Yang ada di Kota Kinabalu (KKIA) ketika ini agak strategik sebab dekat dengan pusat bandar raya tapi kekangannya ialah bagaimana kita lihat terminal dan landasan itu boleh dipanjangkan atau diperbesar dan untuk optimumkan semula Terminal 2 KKIA."
Beliau berkata demikian ketika menggulung Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja untuk kementeriannya di Dewan Rakyat semalam dan menjawab celahan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) sama ada terdapat cadangan membina lapangan terbang baharu di Sabah.
NAIK TARAF KKIA
Loke berkata, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) juga mempertimbang cadangan menaik taraf Terminal 1 KKIA untuk membolehkan pengendalian penumpang ditingkatkan kepada 12 juta penumpang berbanding 9 juta penumpang setahun dan mengatasi isu kesesakan.
Ada media pernah melaporkan pembinaan sebuah lapangan terbang baharu Sabah di Kimanis mengambil masa tiga hingga lima tahun sebaik saja Kerajaan Negeri meluluskan pemindahan semula KKIA ke satu lokasi di utara Sabah.
Qhazanah Sabah Bhd (QSB) iaitu cabang pelaburan strategik Kerajaan Negeri dikatakan menjangka pemindahan KKIA akan bermula 2030 dan menimbulkan pelbagai reaksi rakyat di Sabah.
SUMBER: Bernama
Leave a Reply