LAMBORGHINI Huracan Performante dan Aventador S muncul di Asia buat kali pertama sempena Pameran Motor Antarabangsa Shanghai (SIMS) 2017 yang pastinya menjadi antara model paling ingin dilihat pengunjung.
Huracan Performante menampilkan teknologi baharu dengan berat badan lebih ringan, ciri aerodinamik aktif, pemvektoran aero, casis talaan baharu, sistem pacuan semua roda (AWD) dan enjin V10 yang ditambah baik. Malah, supercar itu mencatatkan rekod baharu di litar Nürburgring, Jerman dengan masa 6:52.01 minit.
Huracán Performante menggunakan ciri Aerodinamica Lamborghini Attiva (ALA) yang merujuk kepada terma sayap dalam bahasa Itali, di mana sistem tersebut dipatenkan dan dibangunkan khas untuk model supercar tersebut. Sistem itu berfungsi menuruti beban aerodinamik semasa tekanan daya bawah (downforce) tinggi atau seretan rendah, sekali gus memperbaiki prestasi atas litar dan jalanan.
SIRI BAHARU AVENTADOR
Lamborghini Aventador S pula ialah siri baharu dalam famili Aventador. Dikuasakan enjin V12 aspirasi natural (NA) dengan hamburan kuasa maksimum 740hp, supercar ini mampu memecut 0-100 kmj sepantas 2.9 saat sahaja, manakala kelajuan maksimum mencecah 350kmj.
Model baharu tersebut menggunakan sistem AWD dan stereng empat-roda (FWS) yang pertama seumpamanya untuk model pengeluaran Lamborghini. Sistem berkenaan bukan saja berupaya menambahbaik kawalan lateral, tetapi juga menjadikan Aventador S lebih lincah dan stabil. Turut dilengkapi ialah mod EGO yang menawarkan sensasi pemanduan menakjubkan dengan penambahan prestasi.
Turut diberada di SIMS 2017 ialah Huracan RWD Coupé berenjin NA V10 dan Huracan RWD Spyder dengan imej supercar konvertibel pacuan roda belakang (RWD). Selepas mencemar duli di bumi Asia, ke manakah pula destinasi jualan model hebat ini?
Apakah di Lamborghini Kuala Lumpur?
Leave a Reply