TOYOTA dan Honda begitu komited dengan teknologi hidrogen. Kesungguhan kedua-dua pengeluar itu ditunjukkan melalui Mirai dan Clarity yang turut ditawarkan dalam versi hibrid plug-in (PHEV) dan elektrik penuh (EV).
Berbeza Toyota Mirai yang ditawarkan hingga kini, pengeluaran Honda Clarity pula sudah ditamatkan pada 2021.
Bagaimanapun, perjalanan kenderaan hidrogen Honda diteruskan menerusi CR-V e:FCEV yang baru saja diperkenal di Amerika Syarikat (AS) sebagai kenderaan elektrik sel bahan api (FCEV) plug-in pertama dikeluarkan di AS.
Ciri utama Honda CR-V e:FCEV ialah jarak pemanduan 434.5km dan sistem pengecas plug-in dengan tenaga elektrik yang boleh dipandu sejauh 46.6km.
Ideanya, tenaga hidrogen digunakan untuk perjalanan jauh, manakala pemanduan elektrik di kawasan sekitar atau bandar. Honda CR-V e:FCEV ditawarkan secara pajakan di California, yang juga menjadi lokasi tumpuan Clarity sebelum ini.
Menjejaki sejarah, pengalaman Honda di pasaran menerusi kenderaan sel bahan api dimulakan FCX yang diperkenal pada Disember 2002. Apakaha FCX?
FCX ialah FCEV sifar emisi pertama dunia yang menerima pensijilan untuk kegunaan harian daripada Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika (EPA) dan Lembaga Sumber Udara California (CARB). FCX juga FCEV pertama yang ditawarkan secara pajakan kepada pelanggan perseorangan.
Ciri Honda CR-V e:FCEV 2025
- Dikeluarkan dari Pusat Pengeluaran Prestasi di Marysville, Ohio.
- Satu-satunya kenderaan penumpang sel bahan api elektrik (FCEV) yang di keluarkan di AS.
- Model pertama yang menggunakan Modul Sel Bahan Api generasi kedua Honda. Dikeluarkan di kilang Pengeluaran Sistem Sel Bahan Api, LLC (FSCM) di Michigan.
- Modul Sel Bahan Api Honda dibangunkan bersama General Motors (GM) dengan pengurangan kos hingga 2/3 berbanding sistem sel bahan api digunakan Clarity Fuel Cell.
- Ketahanan sistem dipertingkat menerusi penggunaan bahan tahan kakisan dan lain-lain.
- Jarak pemanduan sifar emisi hingga 434.5km.
- Pengecas Plug-in Tahap II dengan jarak pemanduan hingga 46.6km.
- Motor tunggal depan berkuasa 174hp dan tork 310Nm.
- Kuasa Modul Sel Bahan Api: 92.2kW.
- Kapasiti bateri 17.7kWj.
- Kapasiti tangki sel bahan api: 4.3kg.
- Tekanan tangki bahan api: 10,000psi.
- Jenis bahan api: Gas hidrogen termampat.
- Ada empat mod pandu: Normal, Eco, Sport dan Snow.
- Dilengkapi sistem Honda SENSING.
- Kluster instrumen digital 10.2 inci.
- Unit infotainment skrin sentuh definisi tinggi (HD) 9 inci.
- Pengecas wayarles (Qi).
- Aplikasi HondaLink dengan ciri tambahan seperti maklumat stesen hidrogen.
- Boleh digunakan sebagai pembekal tenaga elektrik untuk perkakasan rumah seperti alat pertukangan, perkhemahan dan sebagainya.
Dari segi rekabentuk, Honda menggantikan panel badan dari pilar A ke depan dengan bampar yang mengingatkan kepada Acura NSX Type S.
Bahagian sisi dipasang rim 18 inci, manakala bahagian belakang tampak menarik dengan lampu jernih (atau dipanggil albino dalam kalangan peminat modifikasi tempatan).
Ciri aerodinamik diberi perhatian bagi memaksimumkan jarak pemanduan dengan bahagian bawah kereta ditutup sepenuhnya selain spoiler dan jejalur (strake) depan unik.
Berbanding Honda CR-V turbo dan hibrid, ketegaran sisi (lateral) belakang dipertingkat 10 peratus dan sembilan peratus pada bahagian ketegaran torsi belakang.
Suspensi depan MacPherson dan pelbagai pautan di belakang ditala semula dengan spring khas, damper sensitif pada amplitud (julat gerakan) dan stabiliser depan dan belakang.
Leave a Reply