POLIS semalam menahan dua lagi individu bagi membantu siasatan kes lelaki ditarik keluar daripada kereta, diikat dan dibelasah hingga maut di Taman Pelangi Semenyih 2, Kajang, pada 20 Februari.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek ditahan ialah lelaki berusia 22 dan 39 tahun dengan tujuh suspek diberkas setakat ini.
Kita percaya akan ada lagi individu lain yang ditahan selepas ini berhubung kejadian terbabit.
"Selain itu, kita juga sudah menerima laporan dibuat oleh dua pemilik kenderaan yang terbabit dalam kejadian itu.
"Difahamkan ketika kejadian, mangsa melanggar dua kenderaan lain sebelum ditemui meninggal dunia dipercayai akibat dipukul," katanya.
Hussein berkata lagi, motif sebenar insiden masih dalam siasatan, dan selepas bedah siasat dilakukan tiada kecederaan ketara pada mangsa. Justeru polis masih menunggu keputusan analisis makmal bagi mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa.
Terdahulu, beliau pernah memaklumkan mangsa yang berusia 42 tahun disahkan positif dadah jenis metamfetamin dan ganja. Mangsa juga memiliki 10 rekod lampau, termasuk dikehendaki atas kesalahan dadah.
Polis kini meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan, dan menasihatkan orang ramai supaya tidak menokok tambah serta mengada-adakan cerita kerana boleh memberi kesan kepada siasatan selain mendatangkan kegusaran orang awam.
Pada 20 Februari lalu, seorang lelaki dilaporkan ditarik keluar orang awam daripada keretanya selepas terbabitkan kemalangan dengan seorang penghantar makanan. Mangsa dikatakan diikat tangan dan dia dibelasah hingga maut.
Susulan itu, polis menahan lima lelaki tempatan berusia 22 hingga 52 tahun sekitar Kajang dan Semenyih, beberapa jam selepas kejadian.
SUMBER: HMetro
Leave a Reply