AUDI RS 6 Avant GT ibarat mimpi jadi kenyataan. Asalnya adalah sebuah projek perantis RS 6 GTO concept pada 2020.
12 perantis terlibat dan mereka belajar untuk bekerja sebagai mekanik badan dan pembinaan kereta, mekanik kereta, pengecat kereta dan mekanik perkakasan selama enam bulan dan dibantu Audi Design.
Mereka mengambil ilham dari kereta lumba Audi 90 quattro IMSA GTO tahun 1989. Projek ini juga menjadi bukti bagaimana bakat muda boleh menyumbang kepada syarikat walaupun sebagai perantis.
Audi RS 6 Avant GT tampil berbeza dengan bahagian depan yang garang dan diubah suai dari RS 6 GTO.
Jeriji signatur Audi, Singleframe dan liang udara diwarnakan hitam kilat dan menjadikan kereta ini lebih rendah dan lebar.
Bilah menegak pada apron depan, jeriji kemasukan udara baharu dan bibir depan disatukan dengan bampar untuk wajah yang lebih garang. Model asal sudah pun garang dan bampar baharu ini mudah dihadam.
Lagi ciri-ciri Audi RS 6 Avant GT:
Luaran
- Bonet direka semula sepenuhnya dan dibuat dari gentian karbon - pertama untuk Audi Sport GmbH.
- Liang udara keluar di sebelah rim depan berfungsi mengurangkan tekanan udara di dalam lengkungan roda dan menambah baik penyejukan brek.
- Gerbang roda juga dibuat dari gentian karbon dan pertama kali digunakan.
- Rim 22 inci yang dibuat khas untuk RS 6 Avant GT.
- Difuser belakang dengan bilah menegak dan lampu pemantul cahaya.
- Sayap belakang dengan rekaan hampir menyamai model konsep perantis.
- Rel bumbung ditanggalkan untuk badan yang lebih sporty - pertama untuk RS 6 Avant.
- Warna badan Arkona White dengan grafik Audi Sport, hitam, kelabu dan merah juga untuk logo depan dan belakang. Rim warna putih kilat.
- Warna badan Nardo Grey atau Mythos Black dengan grafik hitam dan kelabu, rim hitam kusam. Logo empat cincin depan dan belakang warna hitam.
Dalaman
- Dilengkapi perkakasan dan riasan RS design package plus.
- Dalaman hitam dengan riasan merah dan tembaga.
- Pelapik kaki dengan logo TS 6 GT.
- Kerusi bucket RS dengan balutan kulit Dinamica dan logo RS 6 GT.
- Perehat tangan, papan pemuka, konsol tengah dan pintu dibalut mikrofiber hitam Dinamica.
- Tali pinggang keledar warna Crimson Red.
- Konsol tengah dengan nombor siri.
Trenkuasa dan pacuan
- Enjin 4.0 liter TFSI V8, 630 PS, 850Nm.
- 0 - 100 kmj dalam masa 3.3 saat.
- Kelajuan maksimum 305.7 kmj.
- Kotak gear Tiptronci lapan kelajuan.
- Pacuan semua roda kekal quattro.
- Diferensial pengunci tengah terbaru seperti RS 6 Avant Performance.
- Pembahagian kuasa enjin depan ke belakang dengan nisbah 40:60 atau sehingga 70 peratus ke depan dan sehingga 85 peratus ke belakang bergantung kepada keadaan atau gelinciran.
- Talaan diferensial quattro pada gandar belakang dibuat khas untuk model ini dengan lebih lincah dan bias pada bahagian belakang di dalam mod Dynamic.
Suspensi, tayar dan brek
- Penyerap hentak boleh laras - pertama kali digunakan dan khusus untuk RS 6 Avant GT.
- Kadar kekenyalan pegas gegelung lebih tinggi, penyerap hentak tiga larasan dan penstabil lebih tegar (30% lebih tegar di depan dan 80% di belakang). Mengurangkan olengan badan.
- Tayar Continental Sport Contact 7 285/30 R22.
- Sistem brek seramik RS.
- Jarak pembrekan dengan tayar baharu lebih pendek atau sehingga dua meter (100 - 0 kmj).
Perbezaan di antara RS 6 Avant Performance dan RS 6 Avant GT juga melibatkan tempat pemasangan dan bukan disiapkan sepenuhnya di kilang Neckarsulm.
Selepas badan dan cat disiapkan, kereta ini dihantar ke Böllinger Höfe yang juga tempat pemasangan Audi R8 dan Audi e-tron GT.
Lokasi itu tidak jauh daripada Neckarsulm dan mempunyai kemudahan yang lebih anjal untuk kereta sebegini.
Pemasangan akhir dibuat oleh tujuh pekerja berpengalaman di tiga stesen pemasangan yang diwujudkan khusus untuk Audi RS 6 Avant GT.
Kesemua perkakasan khas dipasang dengan tangan seperti bonet, lingkungan roda, panel alang sisi, sayap belakang, bibir depan dan belakang dan penyerap hentak boleh laras.
Sebagai model terhad, Audi RS 6 Avant GT dikeluarkan sebanyak 660 buah sahaja (60 untuk United Kingdom) dan dijual pada harga GBP£176,975 (RM1,057,202).
Audi RS 6 Avant GT:
Audi RS 6 Avant GT, Audi RS 6 GTO Concept dan Audi 90 quattro IMSA GTO:
Leave a Reply