SELEPAS dikeluarkan sejak Disember 2017, Automobili Lamborghini memperkenalkan dua varian Urus pada 2022 iaitu Urus Performante dan Urus S.
Kedua-dua varian menggunakan enjin 4.0L turbo kembar V8 yang menghasilkan output kuasa 666hp @ 6,000rpm. dan tork 850Nm dengan transmisi automatik 8-kelajuan.
URUS PERFORMANTE VS URUS S
- Julat tork maksimum berbeza: Rev Performante lebih rendah (2,250rpm), iaitu 50rpm lebih awal berbanding Urus S, dan putaran rev hingga 4,500rpm.
- Lebih tangkas: Pecutan 0-100kmj Performante mengambil masa 3.3 saat, iaitu 0.2 saat lebih laju daripada Urus S. Pecutan 0-200kmj pula mengambil masa 11.5 saat, dan tambahan 1 saat untuk Urus S, manakala kelajuan maksimum 305kmj berbanding 306kmj (Urus S).
- Jarak membrek berbeza: Performante mengambil jarak 32.9 meter untuk berhenti, manakala Urus S (33.7 meter).
- Lebih ringan: Performante lebih ringan 47kg daripada Urus S.
Berbekalkan segala prestasi yang ada, memang tepat Lamborghini Dubai meneruskan kerjasama dengan Polis Dubai dan menyerahkan Urus Performante sebelum penghujung 2023 yang juga ulang tahun ke-60 Lamborghini.
Berlangsung sempena Pertunjukan Udara Dubai 2023, Ketua Serantau, Automobili Lamborghini Timur Tengah dan Afrika, Paolo Sartori menyerahkan kunci Urus Performante kepada Pemangku Ketua Komander Polis Dubai, Jeneral Mejar Ahmed Mohammed Thani.
UBAH SUAI DIBUAT
Sebelum ini Lamborghini turut menyerahkan Urus kepada Polis Dubai pada 2022. Performante yang diserahkan disesuaikan mengikut kegunaan pihak berkuasa dengan beberapa modifikasi seperti berikut:
- Grafik badan hijau-putih dengan perincian pada bonet dan pintu tertera logo polis atau 'الشرطة'.
- Spoiler belakang dipasang lampu biru LED 360º dengan siren elektrik.
- Ruang penumpang dimuatkan pelbagai aksesori Polis Dubai seperti kotak pistol dan paparan pesanan boleh lipat.
- Bahagian but ada kotak khas. Selain barangan polis, turut disediakan defibrilator untuk bantuan kecemasan.
Urus baharu ini akan digunakan bagi memberi perkhidmatan lebih baik kepada penduduk dalam mengekalkan keselamatan dan sekuriti sosial serta memberi khidmat di lokasi pelancongan popular.
Leave a Reply