KHUSUS untuk pelanggan di Jepun, Subaru menawarkan WRX S4 STI Sport 2024 yang diasaskan daripada WRX S4 STI Sport R EX dengan pengeluaran dihadkan kepada 500 unit sahaja, manakala pemilihan pelanggan dibuat melalui undian.
Keistimewaan WRX ini adalah pada komponen prestasi STI dan turut menerima talaan khas bagi meningkatkan kestabilan pengendalian dan pemanduan lebih bermutu.
Bahagian luaran menampilkan komponen warna Crystal Black Silica seperti gril, cermin sisi, antena sirip yu dan spoiler. Bahagian dalaman pula dilengkapi kerusi depan Recaro balutan Ultrasuede dan kulit sintetik dengan logo STI pada penyandar kepala, manakala kerusi belakang juga dibalut bahan sama dengan sulaman benang perak.
Menggerakkan WRX ini ialah enjin sama, iaitu F42A 2.4L turbo yang menghasilkan output 273hp (275ps) @ 5,600rpm, dan tork 375Nm @ 2,000-4,800rpm.
Transmisi pula kekal menggunakan automatik CVT Subaru Performance Transmission (SPT) dengan penyejuk bendalir.
Dari segi pengendalian, WRX ini dilengkapi sejumlah komponen STI seperti suspensi palang topang (strut bar), bar pengikat bawah enjin dan casis belakang (di sebalik bampar). Seperkara menarik, rim sport BBS 19 inci mempunyai cetakan 'front' dan 'rear'. Setiap unit WRX S4 STI Sport ditawarkan pada harga 6,237,000 yen (RM199,780).
Ciri Subaru WRX S4 STI Sport 2024
- Enjin F42A 2.4L DIT AVCS berkembar.
- Output kuasa 273hp @ 5,600rpm, 375Nm @ 2,000-4,800rpm.
- Transmisi CVT SPT dengan mod manual. Penyejuk bendalir kotak gear.
- Dimensi panjang 4,670mm, lebar 1,825mm, dan tinggi 1,465mm, manakala jarak roda 2,675mm dan jarak tinggi bumi 135mm.
- Berat 1,610kg.
Luaran
- Komponen hitam Crystal Black Silica (gril depan, cermin sisi, antena sirip yu, spoiler).
- Logo STI hitam sekeliling
- Logo WRX S4 dan SYMMETRICAL AWD hitam
Dalaman
- Stereng kulit asli dengan sulaman benang perak.
- Sarung tombol gear dengan sulaman benang perak.
- Kerusi depan RECARO balutan Ultrasuede dan kulit tiruan (leatherette) dengan sulaman benang perak dan logo STI.
- Kerusi depan boleh laras elektrik 8-tetapan.
- Kerusi belakang balutan Ultrasuede® dan kulit tiruan dengan sulaman benang perak.
- Papan pemuka dan panel pintu dengan balutan ala sued dan sulaman benang perak.
- Tali keledar depan ELR (Emergency Locking Retractor) 3-poin dengan pengehad daya
- Tali keledar belakang ELR 3-poin.
Casis/Pengendalian
- Sistem suspensi palang topang (strut bar) depan dengan logo STI Sport #.
- Palang pengikat bawah enjin dan casis belakang STI.
- Rim tempa BBS 19 inci x 8 1/2J dengan tera front dan rear.
- Tayar Michelin Pilot Sport 5 saiz 245/35.
- Bahan peredam gegaran pada ruang tayar ganti dalam but.
Leave a Reply