MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, Lesen Memandu Malaysia (LMM) dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) kini boleh diperbaharui menggunakan aplikasi MyJPJ bermula 1 Februari ini.
Bagaimanapun, perlaksanaan urus niaga pembaharuan lesen menerusi aplikasi tersebut akan dilaksana secara berfasa dengan peringkat pertama melibatkan kenderaan persendirian individu milik warganegara.
Bagi memudahkan orang awam mendapatkan perkhidmatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) secara digital, pembaharuan Lesen Kenderaan Motor dan Lesen Memandu Malaysia boleh dilaksanakan melalui aplikasi MyJPJ bermula 1 Februari 2024.
"Penambahan fungsi baharu ini akan memudahkan orang awam dalam memperbaharui LKM dan LMM secara digital, menjimatkan masa dan kos malah dapat kurangkan kesesakan urus niaga secara fizikal di kaunter-kaunter JPJ," katanya.
Pembaharuan ini berdasarkan kesediaan sistem JPJ dan penerimaan positif orang awam. Loke berkata, bagi mengelakkan penggunaan Lesen Memandu Malaysia Digital (e-LMM), mereka yang memilih e-LMM ketika pembaharuan akan menikmati rebat RM5.
Rebat ini akan dinikmati sepanjang 2024 bermula 1 Februari hingga 31 Disember 2024. Inisiatif ini termaktub bagi mereka yang memilih e-LMM semasa pembaharuan, sama ada melalui kaunter JPJ, portal mySIKAP, aplikasi MyJPJ atau rakan niaga JPJ seperti pejabat Pos Malaysia dan MyEG Service Berhad.
"Inisiatif ini hanya untuk warganegara Malaysia dan tidak terpakai untuk warganegara asing atau mana-mana pemegang pas permit jangka masa panjang, kad MyKAS dan MyPR."
Menurut Loke, setakat 31 Disember lalu, 7.5 juta pengguna menggunakan aplikasi MyJPJ dan dijangka terus meningkat tahun ini.
Kerajaan berharap inisiatif yang diumumkan hari ini merupakan usaha MOT (Kementerian Pengangkutan) dan JPJ untuk mempermudahkan urusan pemilik LKM dan LMM, seterusnya menyokong ke arah perkhidmatan pendigitalan terbaik kepada rakyat.
"MOT dan JPJ juga sentiasa menghargai sokongan daripada pelbagai pihak dalam pelaksanaan pendigitalan. Saya menyeru supaya masyarakat bersama kami untuk menjayakan pendigitalan JPJ."
SUMBER: AstroAwani
Leave a Reply