VOLKSWAGEN Passenger Cars Malaysia (VPCM) mengumumkan panggilan balik (recall) beberapa model generasi keenam kenderaan jenama itu kerana dipercayai terpalit isu beg udara Takata.
Panggilan balik kali ini melibatkan 6,671 unit kenderaan daripada enam model popular keluaran antara 2010 dan 2014. Berikut perincian panggilan balik:
- Golf GTI, Eos, Passat CC, Polo dan Vento (2010-2013).
- Beetle (2012-2014).
Semua unit terlibat perlu menjalani ujian pemeriksaan perumah generator gas beg udara bahagian pemandu yang dikhuatiri mendatangkan kecederaan terhadap pemandu.
VPCM juga sudah mengambil semua langkah dengan pihak pengedar untuk memastikan kebolehdapatan alat ganti dan panggilan balik dibuat dengan lancar di seluruh negara secara berperingkat.
Peringatan juga akan dimaklumkan kepada pemilik yang sudah dikenal pasti mengikut pangkalan data Volkswagen menerusi e-mel dan aplikasi WhatsApp.
Bagi pemilik yang membeli kenderaan terjejas daripada pemilik asal atau kedai kenderaan terpakai, anda dinasihatkan segera menghubungi pengedar rasmi Volkswagen terdekat untuk pengesahan.
Servis penukaran akan dibuat secara percuma jika melibatkan komponen yang ada kaitan dalam kempen tersebut, termasuk kos buruh.
Pemilik Volkswagen dinasihatkan membuat pemeriksaan status kenderaan masing-masing menerusi laman web Volkswagen dengan memasukkan 17 digit nombor VIN. Nombor itu dapat dilihat di bawah cermin depan model Volkswagen anda.
Leave a Reply