BEBERAPA minggu lalu, penulis menerima khabar trenkuasa untuk model supermoped terbaharu MForce Bike Holdings (MForce) sudah tiba di kilang pemasangan pengeluar itu.
Terkini, ada beberapa unit motosikal supermoped itu sudahpun siap dipasang dan sedang menjalani ujian enduran di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) sejak akhir minggu lalu.
Penulis difahamkan model berkapasiti 150cc itu didatangkan dalam transmisi klac manual 6-kelajuan dan dilengkapi sistem brek cakera tunggal pada kedua-dua roda.
Bagaimanapun, maklumat mengenai teknologi klac moden seperti klac antigelincir (slipper clutch) masih menjadi tanda tanya kerana ciri itu mampu mempengaruhi kos pembuatan dan harga motosikal jika ditambah.
Maklumat awal juga mendedahkan supermoped itu mungkin hadir dalam tiga warna pilihan, iaitu merah, biru dan kuning. Bagaimanapun, pilihan warna tersebut belum dimuktamadkan.
Ujian enduran dibuat di Lebuhraya PLUS membabitkan pergerakan dari Utara ke Selatan sebelum kembali semula ke Pulau Pinang. Model itu juga disahkan bukan seperti foto tular sebuah cruiser dan moped merah (SYM) diparkir di satu kawasan awam.
Setakat ujian minggu lalu, penunggang uji belum dapat merekodkan kelajuan maksimum sebenar disebabkan faktor aliran trafik tinggi berikutan penambahan kenderaan ketika orang ramai pulang ke kampung sempena cuti sekolah dan sambutan Krismas.
Bila nak lancar? Dengar cerita mungkin separuh pertama 2024!
Leave a Reply