KAMManufaktur dari Budapest, Hungary mengangkat model klasik Porsche 912 ke aras berbeza melalui KAMM 912c yang dilancar pada 2022.
KAMM 912c menggunakan badan separuh karbon dan mempunyai berat 750 kilogram (kg).
Kereta restomod itu kekal dengan bumbung dan panel sukuan belakang besi asal dan digabung bersama panel gentian karbon dan penggunaannya yang meluas pada keseluruhan kereta.
Projek 2024 pula lebih luar biasa dengan badan gentian karbon penuh! Setiap panel badan diganti dengan gentian karbon kualiti tinggi dan pilihan tersebut dijangka menghasilkan sebuah kereta yang mempunyai berat 699 kg.
Berat itu lebih 300 kg ringan daripada 912 standard dan 50 kg dijimatkan daripada model separa karbon.
Pelanggan yang memesan badan karbon penuh boleh memilih untuk membiarkannya terdedah yang menampakkan sulaman gentian karbon atau menggunakan cat seperti biasa.
Satu lagi perkara baharu yang ditawarkan untuk pelanggan 2024 ialah khidmat pengubahsuaian penuh supaya tidak sama dengan unit lain.
Pelanggan boleh memesan kerusi, rim, kemasan luar dan dalam mengikut pilihan peribadi.
Model 912c 2024 juga didatangkan bersama enjin 2.0 liter empat silinder sejukan udara dengan 190 kuasa kuda (hp) sehingga 7,200 rpm , ciri aerodinamik baharu, pilihan kerusi rekaan KAMM, penyaman udara yang dinaik taraf dan pelbagai lagi.
Harga KAMM 912c karbon penuh bermula daripada EUR€400,000 (RM2,050,697) untuk spesifikasi asas termasuk sebuah 912. Pelanggan yang sudah memiliki 912 pula ditawarkan pakej EUR€360,000 (RM1,845,618).
KAMM 912c separa karbon kekal ditawarkan dan bermula daripada EUR€360,000 (RM1,845,618) untuk pakej asas dan EUR€320,000 (RM1,640,442) sekiranya 912 dibekalkan pemilik.
KAMM diasaskan oleh Miklós Kázmér dan hanya menumpukan pada Porsche 912 yang dihasilkan di antara 1965 sehingga 1969.
Leave a Reply