ANUGERAH Kereta Terbaik Jepun (Japan Car of the Year, JCOTY) 2023/2024 diumumkan dengan Toyota Prius diundi sebagai pemenang utama.
Di sebalik rekabentuk Prius yang terampil, pasukan juri memilih keicar Delica Mini untuk menjulang anugerah Rekabentuk Terbaik JCOTY 2024 yang kali pertama untuk Mitsubishi.
JCOTY bukan calang-calang dan sesi kali ini ialah anugerah yang ke-44 dianjurkan yang mana kenderaan tersenarai hendaklah diperkenal atau mula dijual di pasaran Jepun daripada 1 November 2022 hingga 31 Oktober 2023.
Senarai 10 kereta terbaik dipilih pada 3 November sebelum disusuli sesi pandu uji pada 22 November, manakala pemenang diumumkan pada 7 Disember dan selain dua anugerah di atas, penganjur turut memilih kereta import dan teknologi terbaik tahunan JCOTY.
Dalam penganugerahan, pasukan juri sangat berkenan dengan rekabentuk comel dan menarik Mitsubishi Delica Mini.
Selain itu, purata jualan lebih tiga kali ganda berbanding Mitsubishi eK X space yang membuktikan rekabentuk sebegitu penting dalam penampilan produk.
Tidak sekadar menjual nama, Mitsubishi Delica Mini juga membawa gaya ikonik van Delica. Dari segi rekabentuk, Delica Mini dibangunkan daripada tema 'Daily Adventure'.
Bahagian depan menonjol dengan lampu LED separa nyala yang digabung bersama rekabentuk Dynamic Shield yang dipegang sekian lama. Tulisan Delica juga membentuk identiti rugged wagon keicar ini.
Turut menyerlah gaya SUV seperti plat bawah bambar warna perak dan gerbang roda hitam kilat.
Delica Mini dijana enjin hibrid ringan (MHEV) 660cc BR06 turbo atau tanpa turbo yang dipadankan transmisi automatik CVT. Pelanggan juga diberi pilihan pacuan dua roda (2WD) atau empat roda (4WD).
Dari segi keselamatan, Mitsubishi Delica Mini tampil canggih dengan sistem bantuan pemandu MI-PILOT seperti Kawalan Pandu Radar (RDC) dan Bantuan Kekal Lorong (LKA).
Mitsubishi Delica Mini ditawarkan dalam empat varian: G,GPremium, T danT Premium pada harga bermula 1,804,000 yen (RM58,190) untuk varian asas G hingga 2,074,600 yen (RM66,920), T Premium.
Leave a Reply