PERODUA menandatangani memorandum kerjasama dengan Tourism Malaysia untuk membantu industri pelancongan tempatan.
Perjanjian tiga tahun bermula 2024 hingga 2026 itu membolehkan Perodua menikmati manfaat untuk terus berkembang dalam sektor automotif tempatan dan juga eksport kelak.
TIGA MANFAAT UTAMA
Pertama, Perodua dapat menikmati akses maklumat dan perolehan data daripada Tourism Malaysia yang boleh digunakan untuk mencari potensi pasaran eksport kenderaan.
Kedua, Perodua dapat meneruskan dan menambah baik aspek promosi serta penjenamaan produk kenderaan secara langsung kepada pelancong asing serta mendapatkan maklum balas daripada mereka.
Ketiga, Perodua berpeluang meluaskan cabang perniagaan langganan kenderaan kepada agensi pelancongan yang kemudian ditawarkan untuk kegunaan pelancong tempatan dan asing.
PAKEJ PELANCONGAN PERODUA-TOURISM MALAYSIA
Pajakan atau langganan kenderaan ada kaitan rapat dengan projek pakej pelancongan baharu yang bakal ditawarkan menerusi kerjasama dengan Tourism Malaysia.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata;
Kerjasama ini memberi faedah kepada kedua-dua pihak. Yang pertama, di Perodua, kita mementingkan aspek keselamatan dan sebagainya. Jadi sebelum kembara, perjalanan domestik khususnya, dia kena datang ke Perodua untuk servis kenderaan dan sebagainya.
"Sebaga permulaan, cawangan kami akan mempromosikan Cuti-Cuti Malaysia supaya orang faham tentang perjalanan domestik.
"Bila kita bekerjasama dengan Tourism Malaysia, nanti… sebagai contoh… kita mungkin akan memperkenalkan satu pakej produk end-to-end.
"Misalnya, anda tiba ke Malaysia dari luar negara dan anda boleh ke Kota Bharu dengan menaiki penerbangan, pengangkutan disediakan dan penginapan ada dalam pakej (sama).
"Kami juga sedang melihat kepada kerjasama seperti ini. Jadi bila pelancong datang, mereka akan nampak agak mudah untuk perjalanan domestik dan merasai produk unik Malaysia iaitu kenderaan jenama kami."
Mengenai bilangan kenderaan yang akan disediakan untuk program dan pakej tersebut, beliau menyatakan perincian itu masih belum dimuktamadkan.
Beliau berkata;
Ia bergantung kepada produk tetapi, kami sekarang masih sedang memuktamadkannya. Kami ada memperuntukkan sejumlah kenderaan untuk memulakannya.
"Apa diharapkan, produk pakej itu akan bertambah dari semasa ke semasa. Buat masa ini, saya tidak boleh beri jumlah sebenar kenderaan yang akan digunakan."
MOBILITY AS A LIFESTYLE
Zainal juga menjelaskan Perodua juga mahu mempromosikan konsep Mobility as A Lifestyle.
Orang biasa mempromosi mobiliti sebagai servis tapi bagi kami, mobility as a lifestyle. Mari jadikan ini satu gaya hidup Malaysia."
Melihat di sebalik perkembangan terbaharu itu, Perodua bukan sekadar mahu merangkul erat gelaran jaguh Malaysia yang disandang selama ini, tetapi bersedia meluaskan penerokaan pentas global.
Leave a Reply