HIPHI ialah jenama teknologi elektrik pintar bawah Human Horizons yang berpangkalan di Shanghai, China.
Model pertama, HiPhi X diperkenal pada 2020 dan kini tiga lagi model dilancarkan dalam susunan menarik iaitu Z, Y dan A. Model terbaharu HiPhi A (2024) bukan biasa-biasa dan diperkenal di Pameran Auto Guangzhou pada 17 November lalu dan dikeluarkan dalam unit terhad.
HiPhi A adalah produk kerjasama antara HiPhi dan WESAIL New Energy Automotive yang menggabungkan bateri dan teknologi motor dibangunkan HiPhi dan elemen kereta hiper (hypercar) Apollo. HiPhi juga bekerjasama dengan Pusat Sistem Pembuatan Pintar Universiti Shanghai Tech.
Rekabentuk hypercar itu begitu menonjol dengan badan maskular dari depan hingga belakang selain penggunaan material gentian karbon dan kemasan warna kusam.
Fender mengembang, spoiler dan bampar belakang membentuk imej ekstrem hypercar tersebut yang tidak canggung jika HiPhi A dijadikan bintang dalam filem fiksyen sains (sci-fi).
Bahagian kabin tidak seperti HiPhi Z yang diasaskan dengan pilihan 4- atau 5-kerusi dan dalam bentangan empat tempat duduk sahaja.
Dari segi prestasi, HiPhi A luar biasa dengan pecutan 0-100kmj sedikit melepasi 2 saat, dan sasaran kelajuan maksimum hampir 300kmj. Sebagai perbandingan, pecutan 0-100 kmj memerlukan 3.8 saat menggunakan pacuan dwi-motor elektrik 672hp dan tork 410Nm.
HiPhi A (2024) ialah model pertama dilengkapi pek bateri dan motor kuasa tinggi yang dibangunkan sendiri HiPhi. Dibina berasaskan platform 800V, pacuan elektrik hypercar tersebut terdiri daripada motor tunggal di depan dan dwi-motor di belakang dengan kuasa puncak 1,287hp.
Motor tersebut menggunakan rekaan bilah gentian karbon berkelajuan ultra tinggi dan sistem penyejukan minyak penuh serta teknologi penyejukan gegelung silinder magnetik terus.
Operasi rev mencecah 22,000rpm dan output kuasa tinggi boleh dijana lebih daripada 30 minit. Selain itu, motor HiPhi A (2024) dibuat ringan, kompak, dan ultra senyap serta boleh dinaik taraf.
Pek bateri boleh melepaskan kuasa setinggi 1.5MW, juga pertama dalam industri dengan pelindung bawah gentian karbon kalis peluru dan pelindung atas lapisan gentian karbon kalis api.
Ciri dalaman dan luaran menggunakan aloi titanium TC4 dengan casis aloi titanium prestasi tinggi, nano-seramik dan beberapa bahan lain.
Dari segi pemanduan HiPhi A (2024) menggunakan teknologi putaran stereng roda belakang aktif dan sistem damper suspensi variabel. Hypercar itu juga mempunyai nisbah berat gandar depan dan belakang hampir seimbang (50:50).
Turut dilengkapi teknologi Kawalan Pemvektoran HiPhi (HVC) bagi mempertingkat pengendalian dan menambah baik prestasi di selekoh dan pembrekan.
Leave a Reply