POLIS Kelantan menahan pemandu trak pikap Mitsubishi Triton dan sebuah Proton Wira Aeroback kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti penyeludupan rokok di Chabang Empat, Tumpat, Kelantan kira-kira jam 1.30 tengah hari kelmarin.
Menurut laporan, suspek ditahan ialah lelaki berumur 43 tahun yang memandu Triton bersama tunai berjumlah RM20,400 dipercayai hasil urus niaga rokok seludup.
Penahanan dilakukan anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA8) apabila mendapati Triton dipandu suspek gagal melarikan diri, manakala suspek pemandu Wira sempat melarikan diri.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ibrahim Husin berkata, sepasukan anggota mengekori Triton dan Wira Aeroback itu dari arah Pengkalan Kubor menuju Chabang Empat kerana nampak mencurigakan.
Beliau berkata;
Menyedari kehadiran pasukan serbuan, pemandu kereta bertindak melarikan diri ke arah bangunan sekitar dan gagal dikesan, manakala pemandu Mitsubishi Triton pula berjaya ditahan.
"Hasil pemeriksaan dalam Proton Wira Aeroback menjumpai 10 kotak rokok (seludup) yang diletak di bahagian tempat duduk penumpang belakang dan bonet kenderaan terbabit.
"Pemeriksaan dalam pacuan empat roda itu pula menjumpai satu bungkusan plastik dalam tempat simpan barang bahagian penumpang depan yang mengandungi wang tunai berjumlah RM20,400 disyaki hasil jual beli rokok seludup."
Semua barangan dirampas. Polis percaya rokok seludup itu dibawa masuk dari negara jiran melalui pangkalan haram di Pengkalan Kubor untuk pasaran sekitar Tumpat.
Suspek direman lapan hari hingga 6 November untuk siasatan di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.
SUMBER: HMetro
Leave a Reply