DIKELUARKAN pada 1984, Toyota terus menambah baik LandCruiser 70 Series dan tiba di bilik pameran di Australia pada November ini.
Selain perubahan luaran, keselesaan, praktikaliti dan teknologi keselamatan, LandCruiser 70 Series (2024) ditawarkan dengan kotak gear automatik 6-kelajuan buat kali pertama dan enjin 1GD 2.8L turbo diesel.
Tidak sekadar memasang, enjin itu dinaik taraf bagi menambah baik penyejukan dan ketahanan untuk kegunaan lasak. Antaranya diameter kipas penyejukan lebih besar dan pengasingan puli engkol (crank pulley) bagi mengurangkan beban pada tali sawat serpentin.
Takungan enjin, penapis dan sensor tahap minyak direka baharu untuk menambah baik hantaran minyak ketika memandu di kawasan curam. Posisi penapis minyak diubah untuk disesuaikan dengan jip ini. Ini termasuk mengurangkan tahap bunyi, gegaran dan kekasaran (NVH) menerusi penggunaan aci imbang.
Sama seperti enjin, kotak gear automatik juga ditambah baik melalui penggunaan takungan minyak lebih dalam, posisi penapis minyak dan pemasangan tangki penangkap minyak.
Bahagian bawah kotak gear dipasang pelindung, manakala hos penafas ditinggikan 900mm untuk membantu meredah air. Kotak gear automatik mempunyai mod kuasa/tarik bagi memanfaatkan kapasiti tunda (braked/treler dengan brek sendiri) hingga 3,500kg.
Dari segi gaya, LandCruiser 70 Series (2024) masih nampak sama kecuali rupa depan baharu dengan lampu LED yang mempunyai fungsi Lampu Suluh Tinggi Automatik (AHB). Gril hitam baharu dipadan bonet enjin dan lampu signal diilhamkan daripada versi terdahulu.
Ruang dalam dilengkapi skrin sentuh multimedia 6.7 inci dengan pengecaman suara dan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto berwayar.
Kluster intrumen pemandu menggunakan paparan digital 4.2 inci dengan rekaan spidometer dan takometer ala LandCruiser sebelum ini.
Konsol tengah juga direka baharu supaya sepadan dengan kotak gear automatik dan lebih praktikal dengan ruang dan kotak simpanan.
Dari segi keselamatan, teknologi bantuan pemandu Toyota Safety Sense (TSS) menawarkan ciri Bantuan Kawalan Turun Bukit (HDCA), Bantuan Signal Jalan Raya (RSA) dan Amaran Tukar Lorong (LDW) dan tambahan kepada Sistem Pra-Pelanggaran (PCS) sebelum ini.
Selain enjin 1GD, Toyota mengekalkan enjin 1VD 4.5 V8 turbo diesel pada semua varian, kecuali 76 Series WorkMate. Enjin itu menghasilkan output kuasa 201hp @ 3,000rpm-3,400rpm, dan tork 500Nm @ 1,600rpm-2,800 rpm.
Harga Toyota LandCruiser 70 Series (2024) bermula A$75,600 (RM226,080) untuk varian asas 76 Series Wagon WorkMate 1GD hingga A$87,600 (RM261,970) untuk 79 Series double cab chassis GXL 1VD.
BACA >>> Toyota C-HR (2024) Masuk UK Januari Tahun Depan dalam Varian Hibrid 1.8L dan 2.0L, Harga Mula RM181k!
BACA >>> #TahukahAnda: 7 Sebab Toyota Camry Masih Berbaloi Dimiliki!
BACA >>> Toyota Sequoia TRD PRO (2024), SUV 3 Baris Mewah, Lasak untuk AS, Harga Mula RM282k
BACA >>> Toyota Land Cruiser 250 Series (2023) Diperkenal dengan Gaya Retro Kembali ke Asal
Leave a Reply