MAZDA MX-5 generasi pertama diperkenal pada 1989 dan merentasi empat generasi lebih 1.2 juta unit dikeluarkan untuk pelanggan di serata dunia.
Di Jepun, MX-5 dikenali sebagai Roadster dan generasi keempat (ND) dikeluarkan sejak 2015. Dipasarkan di banyak buah negara, pengguna tempatan turut ditawarkan model ikonik ini.
Terbaru Mazda memperkenalkan Roadster yang dipertingkat untuk pelanggan di Jepun dan turut membuka tempahan awal dengan penghantaran pada Januari 2024.
Satu yang menggembirakan tentang model ini ialah gaya bumbung boleh lipat yang dibahagi kepada dua iaitu Roadster (bumbung lembut) dan Roadster RF (bumbung keras).
Pembaharuan yang dibuat merangkumi peningkatan Jinbai Ittai (kesatuan di antara pemandu dan kereta), reka bentuk, ciri keselamatan dan teknologi terhubung selain varian baharu.
LSD tak simerti (Asymmetric LSD)
Pembeza Diferensial Terhad (LSD) jenis tak simetri dilengkapi pada Roadster manual (kecuali Roadster S).
Mazda telah mengubah cara dan mekanisma LSD berfungsi untuk menjadikan kereta lebih stabil di selekoh.
Secara amnya, LSD yang baru dibangunkan ini berfungsi dengan menstabilkan karakter kereta di selekoh dengan menukar daya penghad diferensial gear diferensial semasa memecut dan nyah pecut.
Selain itu, penalaan pada daya kilas awalan dan ciri-ciri penghad diferensial bagi mengoptimumkan karakteristik enjin, suspensi dan tayar menjadikan kereta ini lebih lancar dengan ciri-ciri pembelokan lebih linear.
Roadster baharu lebih lincah semasa pemanduan di bandar dan lebih stabil ketika melalui jalan berliku.
Stereng berkuasa elektrik
Pembaharuan yang dibuat menjadikan stereng rasa lebih ringan dan tepat.
Dengan mengurangkan geseran rak stereng dan mempertingkatkan logik kawalan motor bantuan, stereng kereta memberi tindak balas yang natural dan kemas.
Dari awal stereng dipulas dan seterusnya, pemandu dapat merasa hubungan yang berterusan di antara tayar dan jalan raya atau secara ringkasnya kereta yang patuh pada arahan pemandu.
Enjin yang dipertingkat
Enjin SKYACTIV-G 1.5 lebih cekap susulan talaan khas yang dibuat untuk petrol oktana tinggi di Jepun. Kuasa enjin bertambah 3kW (4 hp) dan diterjemah pada daya pecutan.
Selain itu, Roadster manual (termasuk SKYACTIV-G 2.0) dilengkapi logik kawalan terkini yang mempertingkatkan tindak balas ketika pedal ditekan.
Tahap tindak balas daya pemanduan menjadi lebih selari mengikut permintaan pemandu yang tidak terhad ketika memecut tetapi juga semasa nyah pecut.
DSC-TRACK (Roadster manual)
Mazda memperkenalkan mod kawalan baharu untuk Kawalan Penstabilan Dinamik (DSC) yang dioptimumkan untuk pemanduan di litar.
Fungsi DSC-TRACK akan membiarkan pemanduan menikmati Roadster tanpa gangguan dan hanya diaktifkan apabila pemandu tidak dapat mengawal kereta dan mengurangkan risiko kerosakan.
Pemanduan di litar juga lebih selamat selain membuka peluang kepada lebih ramai pemandu untuk menikmati karakter Roadster.
Kawalan Pandu Radar Mazda (MRCC)
Selari dengan perkembangan semasa, Roadster baharu dilengkapi MRCC yang berfungsi bagi menetapkan kelajuan dan jarak di antara kenderaan.
Sensor radar ditempatkan pada bahagian kiri jeriji depan bagi mengesan kenderaan di depan dan penetapan kelajuan malar.
Sokongan Brek Pintar (SBS-RC)
Sistem ini mengesan kenderaan dari sudut kiri, kanan atau belakang semasa mengundur pada kelajuan sekitar 15 km/j atau ke bawah.
Apabila mengesan risiko pelanggaran, sistem akan membantu melalui kawalan brek bagi mengurangkan kerosakan akibat pelanggaran.
Skrin 8.8 inci
Skrin tengah lebih memanjang dengan bucu dibuat senipis mungkin supaya tidak menggangu penglihatan depan dan beg udara apabila meletus.
Turut dilengkapi teknologi terhubung Mazda Connect dengan pelbagai aturan boleh dibuat melalui telefon pintar dan juga makluman kecemasan dengan menghantar ambulan secara automatik ke lokasi kemalangan.
Lampu LED
Kesemua lampu, depan, membelok dan belakang ditukar kepada jenis LED. Bentuk lampu nyalaan siang ditukar dan kekal menggayakan mata makhluk bernyawa selain menyerlahkan imej kelajuan dan kereta sport ringan.
Corak lampu belakang diubah sedikit dan lebih menonjolkan gaya bulat dan bujur seperti model terdahulu.
Warna badan dan rim baharu
Aero Gray Metallic ditambah sebagai warna baharu yang memberi keseimbangan di antara warna solid dan metalik.
Bergantung kepada varian, Roadster meriah dengan corak rim baharu namun kekal dengan bentuk ringkas dan bilah menegak.
Mazda Roadster S Leather Package V Selection
Model ini nampak klasik dan elegan dengan dalaman perang (sports tan) dan bumbung kuning air.
Lagi ciri istimewa seperti kerusi balutan kulit Nappa dan riasan pintu, papan pemuka, konsol tengah dibalut kulit tiruan. Rim aluminium 16 inci dibuat dalam warna perak krom.
Varian dan harga
Model Roadster ditawarkan dengan enjin SKYACTIV-G 1.5 sahaja dan pilihan kotak gear manual enam kelajuan atau (6MT) automatik enam kelajuan (6EC-AT).
Roadster RF pula tidak mempunyai enjin 1.5 liter dan hanya SKYACTIV-G 2.0 juga dengan kedua-dua pilihan kotak gear.
Harga Roadster bermula dari 2,898,500 yen (RM91,879) bagi varian asas S 6MT sehingga 3,679,500 yen (RM116,632) untuk varian premium RS.
Roadster RF dijual dari 3,796,100 yen (RM120,315) untuk S 6MT sehingga 4,308,700 yen (RM136,539) bagi varian premium RS.
BACA >>> Mazda CX-5 (2023) Dikemas Kini di Jepun dengan Tambahan Varian Retro Sports Edition
BACA >>> Mazda CX-50 (2022) Diperkenal dengan Imej Lebih 'Rugged'!
BACA >>> Enjin Rotari Kembali Lagi untuk Mazda MX-30 e-SkyActiv R-EV Berkuasa 168hp, Tork 260Nm
Leave a Reply