KENDERAAN utiliti sukan (SUV) serba baharu, Hyundai Kona akan melakukan debut musim panas nanti (Jun-Ogos 2017) dan dijangka berada di pasaran dunia menjelang Oktober ini.
Di atas kertas, seteru utama Hyundai Kona ialah Nissan Juke yang juga khabarnya akan diperkenalkan pada musim panas akan datang. Jadi, sempena meraikan kemunculan SUV segmen-B itu, Hyundai tampil menyiarkan imej bayangan atau teaser model tersebut bersama teks nama bertulis Kona.
Apa yang dipaparkan cuma lampu depan yang rekaannya jelas tidak seperti barisan produk Hyundai sedia ada, sekali gus memberi isyarat tentang pengenalan bahasa rekabentuk baharu jenama automobil dari Korea itu. Di Malaysia, seandainya dibawa masuk, kehadiran Kona bakal melengkapkan barisan produk SUV Hyundai sedia ada seperti Tucson dan Santa Fe yang mana kedudukan model baharu tersebut adalah di bawah kedua-dua abangnya itu.
KENAPA KONA
Nama Kona adalah merujuk kepada daerah Kona di kepulauan Hawaii, dan setakat ini cuma itu saja maklumat didedahkan Hyundai.
Beberapa jurugambar di Britain dikatakan sudah mengesan kelibat Kona di atas jalan negara itu. Masing-masing berterima kasih kepada rekaan lampu depan tersendiri yang membuatkan SUV itu begitu mudah dikenali, termasuk penampilan gril bersaiz besar. Ramai membayangkan SUV berkenaan akan tampil dengan rupa agresif.
Casis Kona dikatakan dibina berasaskan i20, manakala enjin mungkin diambil daripada i30 baharu dengan campuran varian 3-silinder 1.0 pengecajturbo, 4-silinder 1.4 petrol dan 1.6 diesel.
Jika benar dibawa masuk ke Malaysia, apakah Honda HR-V dalam bahaya?
SUMBER: Auto Express
Salitin says
Boleh bawak straight dak? Ke kona je boleh?